AM

SEKOLAH BANTUAN KERAJAAN LAHIR RIBUAN HAFIZ, TEPIS PERSEPSI ISLAM TERPINGGIR DI SELATAN THAI

03/07/2025 09:20 PM

Oleh Noraizura Ahmad

YALA, 3 Julai (Bernama) -- Sekolah Thamavitya Mulniti di sini bukan sahaja berperanan memperkasakan generasi muda berakhlak tinggi, malah berjaya melahirkan ribuan pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan tahfiz melalui bantuan kerajaan Thailand.

Sekolah swasta berteraskan pendidikan Islam yang ditubuhkan 75 tahun lepas itu mempunyai lebih 6,000 pelajar ketika ini dan beroperasi dengan bantuan subsidi kerajaan hampir 20,000 baht (RM2,600) setahun bagi setiap pelajar, sekali gus menyangkal tanggapan bahawa sistem pendidikan Islam terpinggir di selatan Thailand.

Pengerusi sekolah berkenaan Abdul Rahman Tupa berkata walaupun berstatus swasta menerusi Yayasan Pendidikan Islam, pihaknya turut menerima subsidi kerajaan serta sokongan komuniti demi menampung kos pengurusan dan pengoperasian sekolah.

“Gabungan pengajian agama dan akademik yang kami laksanakan bukan sahaja membuka laluan (pelajar) ke Timur Tengah seperti Mesir, malah ramai pelajar diterima ke universiti utama di Thailand seperti Universiti Chulalongkorn.

“Kita mahu anak-anak ini cemerlang dalam ilmu agama dan mampu menyumbang dalam bidang profesional seperti ekonomi dan perubatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata persekolahan sesi pagi diperuntukkan untuk pengajian agama dalam bahasa Melayu dan Arab, manakala sesi petang tertumpu kepada subjek akademik seperti fizik, kimia, biologi dan Bahasa Inggeris yang diajar dalam bahasa Thailand.

Abdul Rahman berkata antara kejayaan yang mengharumkan nama sekolah itu ialah penciptaan produk “Damar Plus”, iaitu deodoran badan berasaskan daun jambu batu yang diformulasi oleh pelajar sendiri.

Beliau berkata produk itu memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi di Korea Selatan pada 2019, serta menyertai beberapa lagi pertandingan inovasi antarabangsa antaranya di Malaysia.

"Ini bukti kami serius membina bakat dalam bidang sains dan inovasi,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sebanyak 140 bilik darjah digunakan setiap hari termasuk di sebuah kampus khas untuk pelajar perempuan yang menempatkan lebih 1,000 pelajar.

Beliau berkata kira-kira 12 pelajar akan melanjutkan pengajian ke Mesir serta pelbagai lagi negara setiap tahun dan kebanyakan mereka turut berkhidmat dalam sektor awam di Thailand seperti pasukan keselamatan, guru dan doktor selepas menamatkan pengajian.

Sementara itu, guru Bahasa Melayu Rokiah Ismail, 57, berkata beliau berbangga dapat menyumbang bakti selama 25 tahun di sekolah berkenaan yang banyak melahirkan pelajar cemerlang.

Beliau berkata antara cabaran utama ialah mendidik pelajar menggunakan Bahasa Melayu standard berbanding dialek tempatan.

Rokiah berkata walaupun tugas itu mencabar, namun usaha itu penting bagi membolehkan pelajar di sekolah berkenaan melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya di luar wilayah selatan Thailand.

“Berbakti di sekolah ini adalah amanah. Kami bukan hanya mengajar, tetapi membantu memajukan masyarakat dengan membina jati diri generasi muda,” katanya.

Pelajar, Kasmini Isa, 15, pula menyifatkan peluang belajar di sekolah itu sebagai langkah penting dalam usahanya untuk mencapai cita-cita sebagai doktor.

“Saya mahu bantu keluarga dan masyarakat. Sekolah ini beri saya keyakinan dan peluang besar (mengejar cita-cita),” katanya yang berasal daripada keluarga peniaga kecil.

Gabungan sistem pendidikan agama dan akademik yang diterapkan jelas menjadi teras kejayaan sekolah itu, sekali gus mencorakkan naratif baharu bahawa pendidikan Islam di selatan Thailand terus mendapat perhatian serta sokongan kerajaan untuk melahirkan generasi masa depan yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan daya saing global.

Pejabat pendidikan swasta di Thailand merekodkan sebanyak 654 sekolah swasta Islam berdaftar di empat wilayah selatan Thailand melibatkan Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla dengan setiap sekolah rendah menerima subsidi kerajaan sebanyak 15,000 baht (RM1,950) manakala sekolah menengah hampir 20,000 baht (RM2,600) setahun bagi setiap pelajar.

Mengikut pecahan, terdapat 263 sekolah swasta Islam dan 650 pusat tadika fardu ain di Pattani, 117 sekolah dan 429 pusat tadika di Yala, 81 sekolah dan 304 pusat tadika di Narathiwat manakala di Songkhla pula, terdapat 193 sekolah dan 197 pusat tadika.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan