KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Holistic Way, jenama kesihatan nombor satu terlaris dari Singapura, secara rasmi mengumumkan kemasukan ke pasaran Malaysia melalui perjanjian kerjasama eksklusif dengan Guardian Malaysia, rangkaian runcit kesihatan dan kecantikan terbesar di negara ini.
Dalam kenyataan bersama, Holistic Way dan Guardian Malaysia memaklumkan langkah ini merupakan satu detik penting dalam pengembangan serantau Holistic Way serta mencerminkan komitmen Guardian dalam membawa jenama kesihatan antarabangsa yang berkualiti kepada pengguna tempatan.
Ia juga melambangkan gabungan kukuh antara Holistic Way dengan Guardian, yang akan memanfaatkan rangkaian kedai Guardian di seluruh negara untuk menyediakan penyelesaian kesihatan yang lebih mudah diakses dan dipercayai oleh pengguna Malaysia.
Pengarah Urusan JR Life Sciences Ricky Ong berkata sejak penubuhan Holistic Way, jenama itu berpegang teguh kepada nilai teras Health in Harmony.
"Kami memilih untuk bekerjasama dengan Guardian kerana menghargai kepakaran pasukan mereka dan capaian yang luas dalam pasaran, membolehkan mesej jenama kami disampaikan dengan berkesan kepada rakyat Malaysia," katanya.
Pengarah Holistic Way Malaysia Jeffrey Kee berkata jenama itu memahami jangkaan pengguna tempatan terhadap produk kesihatan, justeru kerjasama eksklusif ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha mempromosikan pendidikan kesihatan dan perkhidmatan berkualiti.
"Kami berharap melalui platform ini, kami bukan sahaja menawarkan produk, tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat yang lebih aktif dan positif," katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Komersial dan Kesihatan Guardian Malaysia Sheryn Low berkata kerjasama ini membolehkan Guardian Malaysia memperkenalkan lebih banyak jenama kesihatan antarabangsa yang boleh dipercayai, dan pada masa sama meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Majlis pelancaran kerjasama itu diadakan di Fahrenheit88 Kuala Lumpur pada 30 Jun lepas, dirasmikan oleh empat tetamu kehormat utama, iaitu Ong, Kee, Low dan wakil pengurusan kanan Pavilion Kuala Lumpur Lee CH.
Selain pengumuman kerjasama eksklusif, majlis itu turut memperlihatkan rancangan masa depan kedua-dua pihak dalam pendidikan jenama, promosi pasaran dan inisiatif kesihatan komuniti sekali gus menzahirkan komitmen jangka panjang Holistic Way, jenama kesihatan di bawah JR Life Sciences Singapura, dan Guardian Malaysia.
-- BERNAMA