AM

SKIM TIME-OF-USE (TOU) GALAK RAKYAT LEBIH BERHEMAT

03/07/2025 09:32 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pelanggan domestik dan bukan domestik voltan rendah yang menggunakan meter pintar, kini berpeluang untuk memanfaatkan skim Masa Penggunaan (Time of Use – ToU) bagi membantu mereka menguruskan corak penggunaan tenaga harian dengan lebih cekap.

Menurut laman sesawang rasmi myTNB, pelaksanaan skim ToU yang turut ditawarkan kepada pelanggan yang dilengkapi meter Current Transformer (CT) Operated Meter/Remote Meter Reading (RMR) itu, memberikan lebih fleksibiliti kepada pelanggan mengawal corak penggunaan tenaga harian mengikut keperluan masing-masing.

“Dengan adanya pilihan untuk menjadualkan penggunaan elektrik ke waktu luar puncak yang lebih murah, pengguna kini boleh merancang secara proaktif bagi mengurangkan bil bulanan tanpa perlu mengurangkan tahap keselesaan,” menurut laman sesawang rasmi Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu.

Inisiatif itu, sebahagian daripada pengumuman struktur tarif eletrik baharu dibuat Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini, yang memberi pilihan kepada pengguna untuk mengalihkan penggunaan elektrik ke waktu luar puncak yang lebih murah.

Menurut laman sesawang itu lagi, skim ToU kini telah diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih lama, iaitu sepanjang hari Sabtu dan Ahad serta 10 malam sehingga 2 petang keesokannya pada hari Isnin hingga Jumaat, manakala waktu puncak pula ialah dari jam 2 petang hingga 10 malam pada hari Isnin hingga Jumaat.

Sebagai contoh, pelanggan domestik yang mengalihkan masa penggunaan peralatan elektrik seperti mesin basuh, penyaman udara atau pengecas kenderaan elektrik ke luar waktu puncak, akan berpeluang menikmati penjimatan bil elektrik.

“Kadar caj tenaga dalam tempoh luar puncak bagi penggunaan bulanan 1,500 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah ditetapkan pada 24.43 sen/kWj. Manakala kadar caj tenaga ketika waktu puncak bagi penggunaan bulanan yang sama untuk golongan pelanggan ini ialah 28.52 sen/kWj berbanding 27.03 sen/kWj sahaja untuk pelanggan Domestik Am,” menurut laman sesawang itu.

Bagi membantu pengguna memahami potensi penjimatan di bawah skim ini, TNB turut menyediakan Kalkulator Bil Elektrik dalam talian di portal myTNB. Pengguna boleh memilih jenis tarif berkenaan dan membuat anggaran bil terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk bertukar kepada skim ini.

Permohonan untuk beralih ke skim ToU boleh dibuat dengan memajukan borang permohonan berserta dokumen diperlukan menerusi emel tnbtou@tnb.com.my atau di Kedai Tenaga berdekatan bermula 1Julai 2025.

Pelanggan juga boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal myTNB bermula 1 Ogos.

Untuk maklumat lanjut, layari portal rasmi www.mytnb.com.my/tariff atau hubungi TNB CareLine di 1300-88-5454. Maklumat dan bantuan juga tersedia di semua cawangan Kedai Tenaga seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan