Daripada Arul Rajoo Durar Raj
ROM, 2 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan hari kedua lawatan kerja beliau di ibu negara Itali ini dengan mengadakan mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri utama.
Perdana Menteri, yang tiba pada Selasa untuk lawatan selama tiga hari itu, bakal bertemu peneraju industri daripada 36 syarikat Itali, termasuk syarikat multinasional (MNC) seperti Leonardo SpA, STMicroelectronics dan Ferrero.
Leonardo mempunyai kepakaran dalam bidang aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan, STMicroelectronics ialah syarikat semikonduktor manakala Ferrero merupakan antara pengeluar coklat dan konfeksioneri terbesar di dunia.
Ketiga-tiga MNC ini mempunyai operasi yang kukuh di Malaysia.
Mesyuarat itu akan berlangsung semasa sesi persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali, program anjuran bersama kerajaan Malaysia dan Itali.
Anwar turut dijangka bertemu Antonio Tajani, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali semasa mesyuarat meja bulat itu.
Perdana Menteri akan diiringi oleh pegawai kanan kerajaan yang berkaitan dan delegasi korporat yang terdiri daripada wakil 13 syarikat Malaysia dalam pelbagai sektor.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Imam Yahya Pallavicini, Naib Presiden Comunita Religiosa Islamica Italiana (COREIS) dan Abdellah Redouane, Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali dan Masjid Rom.
Pada Khamis, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni di Istana Chigi.
Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Itali merupakan ekonomi ketiga terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU) dan kelapan terbesar di dunia mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ekonominya menyumbang kira-kira 12 peratus daripada KDNK EU.
Malaysia dan Itali telah menjalin hubungan diplomatik yang panjang dalam pelbagai bidang, disokong oleh hubungan ekonomi yang kukuh, perdagangan dan pelaburan yang meningkat serta kerjasama antara rakyat.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan sebanyak dua peratus kepada RM14.61 bilion (US$3.18 bilion) berbanding tempoh sama pada 2023.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM6.5 bilion (US$1.48 bilion) berbanding tempoh sama pada 2024.
Itali kekal sebagai rakan perdagangan kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara EU dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia daripada blok itu pada 2024.
Anwar sedang mengadakan satu siri lawatan ke Itali, Perancis dan Brazil sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempromosikan kerjasama ekonomi pada peringkat global.
-- BERNAMA