JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Sebanyak 55 calon daripada pelbagai daerah hari ini disaring bagi menerima manfaat Rumah Kasih Johor (RKJ) yang menawarkan rumah secara percuma kepada rakyat di negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, sebanyak 36 calon disokong dan 18 ditolak, manakala satu lagi permohonan ditangguh untuk penelitian lanjut.
Beliau berkata pemilihan calon dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan RKJ 2025 Bil. 2/2025 yang dipengerusikannya hari ini, dengan melibatkan pembentangan daripada tujuh Pejabat Daerah iaitu Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Johor Bahru dan Kluang.
“Mesyuarat ini adalah manifestasi kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan proses pemilihan dibuat secara adil, berhemah dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
“Kita tidak hanya melihat daripada aspek pentadbiran tetapi meneliti dengan empati serta amanah agar rumah yang diberi benar-benar menjadi sinar buat mereka yang terpinggir,” katanya, sambil menambah keputusan dibuat secara konsensus dan berdasarkan kriteria yang ketat.
Antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat termasuk Machap, Kota Iskandar, Johor Jaya, Tiram, Mahkota, Mengkibol, Paloh, Tenggaroh, Semarang, Seri Medan, Pekan Nenas, Panti, Pasir Raja, Johor Lama, Layang-Layang, Kahang, Penawar dan Kukup.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad dan ADUN Penawar Fauziah Misri.
Kerajaan Johor memperuntukkan RM67 juta bagi pembinaan 500 unit rumah secara percuma menerusi RKJ yang dilaksanakan dari 2022 hingga 2026 dengan keutamaan kepada penerima di kawasan luar bandar.
Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata bagi tahun 2023, sebanyak 50 unit rumah RKJ bernilai RM6.5 juta telah disiapkan dan diserahkan kepada penerima.
“Bagi 2024 pula, sebanyak 120 unit sedang dalam pembinaan dengan kos keseluruhan RM17 juta. Fasa pertama membabitkan 71 unit siap Jun lepas, manakala baki 49 unit dijangka siap Disember ini.
“Bagi tahun ini, sebanyak 165 unit bernilai RM22 juta kini dalam proses siasatan teknikal dan lawatan tapak, dengan pembinaan fasa pertama bermula pada 15 Mei lepas,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan RKJ yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor itu selari dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Johor negeri paling sejahtera dan inklusif menjelang 2030 di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
– BERNAMA