BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 AM

AHMAD ZAHID UCAP TAKZIAH ATAS PEMERGIAN BEKAS SETIAUSAHA AKHBARNYA

29/06/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas setiausaha akhbarnya Datuk Dr Azmi Abdul Malek yang meninggal dunia pagi tadi.

Dalam catatan melalui platform X, beliau menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tercinta, tetapi juga kepada semua yang pernah bekerjasama dan mengenalinya secara peribadi.

Ahmad Zahid berkata Azmi pernah menjadi Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika beliau memegang jawatan menteri di kementerian itu.

"Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar ketika saya memimpin Kementerian Pertahanan. Sepanjang perkhidmatan beliau, Allahyarham sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tugasnya," katanya.

Ahmad Zahid turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan