AM

JPKK DIINGATKAN AGAR TIDAK LANGGAR INTERGRITI PENGURUSAN DANA

01/07/2025 04:19 PM

SEREMBAN, 1 Julai (Bernama) -- Semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli jawatankuasanya, diingatkan untuk tidak melanggar intergriti pengurusan dana yang diterima, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata setiap peruntukan yang disalurkan melalui pelbagai saluran, adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik dan sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan atau kelewatan dalam pelaksanaan, akan menjejaskan imej kerajaan serta mencemarkan kepercayaan rakyat.

“Saya ingin menegaskan semua pengerusi dan seluruh jawatankuasa JPKK, integriti dalam pengurusan dana kerajaan satu perkara penting. Setiap sen disalurkan melalui apa saja peruntukan adalah amanah daripada rakyat.

“Dana Inisiatif Sejati MADANI misalnya, perlu diurus secara bertanggungjawab, telus dan berkesan. Ini bukan sekadar peruntukan kewangan, tetapi lambang kepercayaan kerajaan kepada JPKK. Maka, pastikan tiada ruang untuk disalah guna, ketirisan atau pembaziran,” katanya berucap pada Majlis Amanat Menteri Besar Bersama 434 JPKK Negeri Sembilan Tahun 2025 di Klana Resort, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias, dan pada majlis itu semua ahli JPKK negeri turut membaca Ikrar Bebas Rasuah disaksikan Pengarah SPRM negeri Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata pelantikan JPKK bagi penggal baharu nanti, akan di nilai dari sudut pengurusan JPKK, pelaksanaan mesyuarat dan pencapaian JPKK serta pelaksanaan program Sejati MADANI.

Beliau berkata perkara tersebut merupakan komponen akan dinilai oleh kerajaan terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing, bagi memastikan keberkesanan khidmat diberikan.

Sementara itu, Jalaluddin menyeru semua pengerusi JPKK perlu memastikan kerjsama baik dengan semua ADUN di kawasan masing-masing, bagi membolehkan pelaksanaan program pembangunan berjalan lancar dan berkesan.

“Fokus utama JPKK ialah pembangunan dan pengurusan kampung, jangan menjadikan JPKK sebagai alat untuk kepentingan peribadi atau menjatuhkan mana-mana pihak,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan