POLITIK

TARIKH PERHIMPUNAN AGUNG UMNO DITUNDA KEPADA 26-29 NOV

01/07/2025 01:03 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang dijadual pada Ogos ditunda kepada 26 hingga 29 Nov, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Pada Mac lepas, Mesyuarat MT UMNO menetapkan tarikh Perhimpunan Agung tahun ini adalah dari 20 hingga 23 Ogos depan.

Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 Nov tahun ini, yang membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata UMNO akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan termasuk pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata UMNO berasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti-parti gabungan untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.

Menurut Asyraf Wajdi, mesyuarat turut menetapkan MT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.

Asyraf Wajdi berkata UMNO turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO Perak kerana membantu pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 10 Jun lepas.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan