PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke Itali, Perancis dan Brazil, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17, mulai esok hingga Isnin depan (1 hingga 7 Julai).
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata lawatan ke tiga pusat ekonomi utama iaitu Rom, Paris dan Rio de Janeiro itu bertujuan memperkukuhkan rangkaian diplomatik dan perdagangan Malaysia dengan negara berkenaan.
Beliau berkata ketiga-tiga pasaran itu secara kolektif merekodkan nilai dagangan dua hala berjumlah RM50.91 bilion (US$11.14 bilion) tahun lepas.
“Ia menawarkan peluang pertumbuhan pesat dalam sektor ekonomi, kebudayaan, teknologi serta pendidikan,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata di Itali, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni untuk memperkasa agenda ekonomi dua hala dan merintis inisiatif kebudayaan bersama.
“Sesi Meja Bulat Perniagaan juga akan diadakan untuk menghimpunkan peneraju industri kedua-dua negara, manakala dialog bersama pemimpin komuniti Islam serta pertemuan diaspora Malaysia menonjolkan jalinan insani serta bakat negara di Eropah,” katanya.
Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri turut dijadual bertemu Presiden Perancis Emmanuel Macron, dan fokus perbincangan merangkumi sektor perdagangan, teknologi dan pendidikan.
“Di samping sesi meja bulat bersama gergasi industri Perancis, Perdana Menteri juga akan berdialog bersama pemimpin komuniti Islam setempat dan menyantuni warga Malaysia di Perancis selain menyampaikan Syarahan Umum di Sorbonne University pada 4 Julai,” katanya.
Beliau berkata seterusnya Perdana Menteri akan ke Rio de Janeiro pada 5 hingga 7 Julai bagi menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.
“Kehadiran Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025 akan menekankan kepentingan multi-lateralisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan, tindakan iklim dan kesihatan global, mewakili aspirasi lebih 650 juta rakyat ASEAN,” katanya.
Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri akan turut membawa delegasi perniagaan yang merangkumi gergasi korporat serta perusahaan inovatif Malaysia.
“Sebahagian daripada syarikat ini telah pun beroperasi dan mempunyai kepentingan perniagaan di Itali, Perancis atau Brazil, manakala selebihnya sedang meneroka peluang pelaburan baharu bagi memperluas jaringan global mereka.
“Sinergi sedemikian memastikan rundingan antara Kerajaan (G2G) disokong oleh kerjasama antara perniagaan (B2B), sekali gus memacu pasaran baharu, mengukuhkan operasi sedia ada dan meneguhkan kedudukan Malaysia di rantau strategik ini,” katanya.
Beliau berkata pengurusan syarikat dibuat oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai kementerian bertanggungjawab dalam hal ehwal pelaburan, perdagangan dan industri setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri.
“Ini merupakan amalan sedia ada menerusi penglibatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Mereka menjadi pemudah cara bagi pemain industri dan syarikat Malaysia serta syarikat luar negara untuk membuat pelaburan atau usaha sama perniagaan, menerusi Mesyuarat Meja Bulat bersama pemimpin-pemimpin industri negara-negara yang dilawati,” katanya.
Antara delegasi perniagaan yang turut serta dalam lawatan itu adalah Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Khazanah Nasional Bhd, Sunway dan Maybank.
Sementara itu Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri dan delegasi akan tiba di Kuala Lumpur pada 9 Julai dan terus menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada hari yang sama.
“Kerajaan MADANI menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Rom, Paris dan Rio de Janeiro ini akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan, dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia serta seluruh warga ASEAN.
“Perdana Menteri turut memohon doa dan sokongan padu rakyat Malaysia agar setiap rundingan dipermudah dan setiap hasilnya kelak benar-benar membawa manfaat yang mampu dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA