AM

BANTUAN MAKANAN BULANAN ASNAF MISKIN, MUALAF MELAKA DINAIKKAN KEPADA RM300 SEBULAN

30/06/2025 03:29 PM

MELAKA, 30 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menaikkan kadar baharu bagi skim Bantuan Makanan Bulanan kepada asnaf miskin dan mualaf kepada RM300 sebulan berbanding RM250 sebulan sebelum ini, berkuat kuasa esok.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata skim sama bagi golongan asnaf fakir di bawah MAIM pula kekal, iaitu RM400 sebulan.

Beliau berkata Skim Bantuan Makanan Bulanan ialah bantuan utama yang diwujudkan MAIM, dengan penerima bantuan akan mengambil barang makanan melalui transaksi kad pengenalan di 74 panel pembekal makanan MAIM di seluruh Melaka.

"Berdasarkan data pada 24 Jun lepas, penerima Bantuan Makanan Bulanan MAIM atau bantuan daruriyah ialah 7,810 orang terdiri daripada asnaf fakir sebanyak 112 orang dan asnaf miskin sejumlah 7,698 orang.

"Keputusan menaikkan kadar skim ini dibuat berdasarkan krisis kenaikan harga barang mentah yang menyebabkan barangan diberi kepada asnaf juga mengalami kenaikan selain skim-skim bantuan berkenaan juga tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa skim bantuan lain turut dinaikkan kadarnya seperti bantuan yuran persekolahan sekolah rendah secara sekali beri bagi anak asnaf miskin daripada RM70 kepada RM100.

Bagi bantuan tunai mualaf pula, beliau berkata ia dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 manakala bantuan tunai bagi mualaf baharu diberikan secara automatik daripada RM200 kepada RM300.

Dalam pada itu, Rahmad berkata prestasi pendapatan zakat pada tahun lepas adalah sebanyak RM141.37 juta dan perbelanjaan zakat yang diagihkan kepada asnaf yang berdaftar di bawah MAIM berjumlah RM151.22 juta.

"Pada tahun ini, peruntukan zakat dianggarkan berjumlah RM33.68 juta, iaitu kenaikan sebanyak RM4.384 juta atau 15 peratus berbanding peruntukan pada tahun lepas sebanyak RM29.3 juta.

"MAIM sentiasa komited dalam menjaga kebajikan golongan asnaf di Melaka dan akan terus menambah baik sistem agihan zakat dari semasa ke semasa," katanya.

Rahmad berkata sehubungan dengan itu, pembayar zakat di Melaka diharapkan terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada MAIM dalam mengurus pengagihan zakat sekali gus meningkatkan hasil kutipan bagi membela nasib golongan asnaf di negeri itu.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan