AM

ISTIADAT, MAJLIS RASMI SEMPENA ULANG TAHUN YANG DIPERTUA PULAU PINANG DITANGGUH

30/06/2025 02:22 PM

GEORGE TOWN, 30 Jun (Bernama) -- Istiadat dan majlis rasmi sempena Hari Ulang Tahun ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib yang sepatutnya berlangsung pada 12 Julai, ditangguhkan berikutan bertindih dengan tarikh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri berkata sambutan rasmi berkenaan akan dilaksanakan bermula 26 hingga 30 Julai ini.

“Bagaimanapun, 12 Julai telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am sempena sambutan Ulang Tahun Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambutan ulang tahun rasmi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang merupakan acara tahunan yang diraikan dengan istiadat rasmi kerajaan negeri termasuk penganugerahan darjah kebesaran.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan