AM

PELANCONG WARGA NEW ZEALAND CEDERA JATUH DI AIR TERJUN RIMBA KANCHING

28/06/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Seorang pelancong wanita warga New Zealand cedera selepas terjatuh dari ketinggian lebih enam meter di Air Terjun Rimba Kanching, Rawang, dekat sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.52 pagi.

Beliau berkata sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang wanita warga New Zealand berusia 52 tahun telah terjatuh dari kawasan air terjun dengan ketinggian melebihi enam meter.

“Mangsa mengalami kecederaan pada kaki, tangan kiri dan bahagian tulang belakang, namun masih berada dalam keadaan sedar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa berjaya dibawa turun dari lokasi kejadian pada pukul 2.15 petang sebelum dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan