AM

HOSPITAL PASIR GUDANG BEROPERASI SECARA BERFASA MULAI 1 OGOS

29/06/2025 04:13 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Hospital Pasir Gudang (HPG) yang diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata bagi fasa awal, ia akan melibatkan 30 peratus bidang perkhidmatan mustahak seperti Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Pediatrik.

“Setakat ini, 274 perjawatan sudah diisi dan kita mengharapkan hospital ini dapat beroperasi secara penuh melibatkan 1,845 petugas pada Julai 2026,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap HPG di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail.

Dzulkefly berkata dengan kapasiti melebihi 300 katil, HPG bakal mengurangkan tekanan yang selama ini ditanggung oleh dua hospital utama di Johor Bahru, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), terutamanya dalam pengurusan kes kecemasan dan pesakit stabil.

Beliau berkata hal ini selaras dengan kedudukan Johor yang dijangka mencatat jumlah penduduk sebanyak 3.90 juta menjelang 2025 berbanding 3.35 juta pada 2010, dengan kadar pertumbuhan dua peratus setahun, khususnya di Johor Bahru.

Terdahulu dalam ucapan, Dzulkefly berkata HPG ialah hospital pertama yang menyediakan kira-kira 20 on call suite untuk doktor pakar, dalam usaha menjaga kebajikan dan memberikan keselesaan kepada petugas. 

Beliau berkata sepanjang tempoh pembinaan, HPG direkodkan sebagai antara projek kerajaan yang berprestasi cemerlang, bebas daripada senarai projek Lewat Jadual dan Sakit, malah sentiasa mendahului jadual asal meskipun berdepan cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“HPG juga dijadikan contoh terbaik perancangan rapi dan pelaksanaan bersepadu yang berjaya menterjemahkan harapan rakyat,” katanya.

Dzulkefly berkata dengan adanya HPG, bilangan hospital pakar di Johor bertambah kepada lapan dan dijangka dapat mengurangkan kadar penggunaan katil (BOR) di HSA sebanyak lima hingga 10 peratus dalam tempoh dua tahun dengan memindahkan pesakit stabil ke HPG. 

“Dengan operasi penuh HPG, masa menunggu bagi Perkhidmatan Pembedahan Elektif di HSA dijangka dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus dalam tempoh dua tahun pertama,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan