DUNIA

MALAYSIA PERKASA TRANSFORMASI DIGITAL PROSES PENDAFTARAN AWAM

26/06/2025 04:42 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 26 Jun (Bernama) -- Malaysia sedang memperkukuh transformasi digital sistem pendaftaran awamnya bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih pantas, selamat dan berfokuskan rakyat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menekankan pengiktirafan Malaysia terhadap peranan penting pendaftaran awam serta kemajuan besar yang dicapai dalam memperkukuh Sistem Pendaftaran Awam dan Statistik Vital (CRVS) negara.

“Kerajaan Malaysia kekal komited untuk terus menambah baik sistem CRVS dengan memperhalusi perundangan, memperluas liputan pendaftaran, dan mengintegrasi penyelesaian digital bagi memastikan setiap individu direkodkan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

“Sistem pendaftaran awam yang tepat, menyeluruh dan tepat pada masanya adalah penting untuk dasar negara yang berkesan, tadbir urus dan pembangunan mampan melalui statistik vital yang boleh dipercayai,” katanya pada Persidangan Menteri Ketiga mengenai CRVS di Asia dan Pasifik di Pusat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini pada Khamis.

Shamsul Anuar menggariskan inisiatif utama kerajaan termasuk penggunaan MyDigital ID, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan rangka kerja Enterprise Architecture.

Beliau menjelaskan bahawa MyDigital ID membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan dalam talian kerajaan dan sektor swasta dengan selamat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal dan keperluan hadir secara bersemuka.

“Integrasi AI menyokong automasi proses pendaftaran, pengesahan data dan pengesanan penipuan, manakala Enterprise Architecture memastikan kebolehoperasian antara agensi dan sistem kerajaan,” katanya.

Inovasi digital ini bertujuan meningkatkan ketepatan data, memperbaiki kecekapan operasi serta membolehkan akses masa nyata kepada data pendaftaran awam yang bersepadu dan boleh dipercayai, tambahnya.

Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa Malaysia telah menerima pakai versi terkini Klasifikasi Statistik Antarabangsa Penyakit dan Masalah Kesihatan Berkaitan (ICD-11) bermula 2024, selaras dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata kemajuan ketara telah dicapai dalam usaha mewujudkan sistem CRVS yang lebih universal dan responsif.

“Selaras dengan visi serantau bersama, kekerapan pelaporan statistik vital telah meningkat dengan ketara, daripada setahun sekali kepada suku tahunan. Ini meningkatkan ketepatan masa dan keberkesanan data untuk dasar berasaskan bukti serta menambah baik akses orang ramai kepada data.

“Selain itu, skop pendaftaran awam telah diperluas merangkumi rekod perkahwinan dan perceraian yang lebih menyeluruh dan sistematik, sekali gus meningkatkan kelengkapan, keterangkuman dan kebolehpercayaan data peristiwa penting,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan