EKONOMI

ALLIANZ MALAYSIA SOKONG PEMBAHARUAN PENJAGAAN KESIHATAN AGAR MAMPU MILIK, INSURANS MAMPAN

26/06/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Allianz Malaysia Bhd menyokong sepenuhnya pembaharuan sistemik dalam sektor penjagaan kesihatan bagi menangani peningkatan kos perubatan dan memastikan daya maju jangka panjang industri insurans untuk manfaat pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Sean Wang berkata kenaikan kos perubatan yang didorong oleh inflasi, penggunaan hospital yang lebih tinggi dan peningkatan prevalans rawatan yang kompleks seperti kanser, telah memberi tekanan yang semakin meningkat kepada syarikat insurans.

Beliau berkata jumlah tuntutan perubatan bernilai tinggi telah menyaksikan peningkatan yang ketara, dengan tuntutan tunggal terbesar berjumlah RM1.2 juta untuk pelanggan Allianz Malaysia.

“Pengenalan langkah sementara telah mencetuskan perbincangan yang membina di seluruh ekosistem penjagaan kesihatan.

“Perbincangan ini penting memandangkan semua pihak berkepentingan pada masa ini sedang giat meneroka strategi untuk menguruskan inflasi di samping memastikan akses berterusan kepada penjagaan berkualiti tinggi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan ke-51 yang diadakan secara hibrid semalam.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa dalam tempoh tiga tahun akan datang, sistem penjagaan kesihatan akan berkembang menjadi lebih telus dan cekap.

Wang turut menekankan kebimbangan mengenai penetapan harga dan pembaziran ubat serta keperluan kepada pembaharuan harga dan pengurusan inventori yang lebih baik.

“Kita telah melihat kenaikan harga ubat antara 150 hingga 250 peratus, yang mencatat perbezaan ketara. Langkah mengurangkan pembaziran seperti ubat-ubatan tidak digunakan boleh dipulangkan kepada pembekal adalah penting untuk meningkatkan kecekapan,” katanya.

Sebagai reaksi kepada persekitaran kos yang semakin meningkat, Wang berkata Allianz Malaysia telah memperkenalkan produk insurans kesihatan baharu yang menggabungkan ciri deduktibel dan pembayaran bersama -- amalan lazim di pasaran yang lebih matang untuk menggalakkan tanggungjawab pengguna dan membantu mengawal inflasi perubatan.

Walaupun beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyuarakan kebimbangan terhadap model pembayaran bersama, Wang menyokong pendekatan berkenaan sambil memaklumkan ia penting bagi memastikan kemampuan dan kemampanan jangka panjang.

Bank Negara Malaysia melaksanakan langkah penetapan harga sementara pada Disember 2024 untuk mengehadkan kenaikan premium insurans kesihatan sebagai sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas untuk menstabilkan sektor itu.

Wang turut menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan bagi menangani cabaran struktur dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Allianz Malaysia telah giat berkerjasama dengan hospital dan pengawal selia melalui dialog yang membina dan inisiatif perintis untuk menguruskan kos dengan lebih berkesan,” katanya.

Wang turut menekankan kepentingan untuk mendidik pemegang polisi mengenai hak dan tanggungjawab mereka, terutamanya dari segi ketelusan mengenai rawatan dan caj berkaitan.

Inflasi penjagaan kesihatan Malaysia telah mencapai 15 peratus pada 2024, didorong oleh kemajuan teknologi dan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit.

Lonjakan ini telah menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan meningkat ketara, sehubungan itu jumlah tuntutan yang difailkan dengan pengendali insurans dan takaful turut meningkat.

 

 

Prestasi Kewangan Kukuh bagi Suku Pertama 2025

 

Bagi suku pertama 2025, Allianz Malaysia mencatatkan prestasi kukuh dengan jumlah aset meningkat kepada RM28.59 bilion.

Perolehan insurans meningkat sebanyak 14.3 peratus kepada RM1.53 bilion manakala jumlah premium bertulis kasar mencecah RM2.01 bilion.

Cabang insurans am kumpulan itu, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dengan bahagian pasaran sebanyak 14.9 peratus, disokong oleh pertumbuhan dalam segmen motor dan komersial.

Allianz Life Insurance Malaysia Bhd pula kekal sebagai syarikat insurans hayat keempat terbesar di negara ini dengan bahagian pasaran sebanyak 11.8 peratus.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan