DUNIA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA ALAMI DAGANGAN SECARA BERHATI-HATI, CI DALAM JULAT 1,500-1,530

21/06/2025 10:31 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani & Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal mengalami dagangan secara berhati-hati dan prestasinya mungkin menjejaki pergerakan di Wall Street minggu depan memandangkan pasaran meneliti petunjuk daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata unjuran Rizab Persekutuan AS (Fed) yang mengambil kira kelembapan pertumbuhan, inflasi tinggi dan trajektori pengangguran meningkat bagi 2025 hingaa 2027, menunjukkan stagflasi yang boleh menjejaskan sentimen risiko.

“Sektor yang sensitif kepada pertumbuhan mungkin menghadapi cabaran memandangkan hala tuju dasar masih tidak menentu.

“Pemisahan plot titik FOMC, dengan kalangan ahli terbahagi antara tiada pengurangan kadar faedah dengan dua kali pengurangan menjelang akhir tahun, menunjukkan pelonggaran dasar jangka masa pendek yang terhad sekali gus merendahkan kemungkinan pengurangan kadar pada Julai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata indeks penanda aras kini berlegar hampir kepada paras ambang psikologi 1,500 mata.

Pergerakan indeks melepasi paras ini boleh mencetuskan pembelian secara peluang oleh pelabur institusi, terutama apabila indeks menghampiri paras sokongan serta merta 1,490 mata, katanya.

“Walaupun panduan FOMC memperkenalkan elemen berhati-hati namun pasaran mungkin mendapat sokongan pada paras yang lebih rendah, apabila penilaian menjadi lebih menarik.

“Ketidaktentuan ketara yang didorong oleh geopolitik lazimnya bersifat sementara, dan sentimen risiko dijangkakan menjadi sederhana apabila kebimbangan ini reda,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata tumpuan pasaran minggu hadapan akan beralih kepada beberapa petunjuk utama ekonomi termasuk data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahunan AS dan tuntutan pengangguran.

“FBM KLCI kini didagangkan pada kira-kira 12 kali nisbah harga kepada pendapatan tahun kalendar 2025, jauh di bawah purata jangka masa panjang iaitu lebih 16 kali, menunjukkan potensi untuk peningkatan selanjutnya.

“Penilaian yang kurang menarik ini mungkin menarik bagi pembeli ketika harga murah. Bagi minggu hadapan, kami menjangka indeks bergerak dalam julat 1,500 hingga 1,530 mata,” katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, prestasi Bursa Malaysia kebanyakannya mendatar memandangkan pelabur tidak memasuki pasaran ekoran kebimbangan berterusan terhadap krisis di Asia Barat dan pelaksanaan tarif balas yang dijangka oleh Presiden AS, Donald Trump.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, indeks utama pasaran susut 15.37 mata kepada 1,502.74 daripada 1,518.11 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas turun 141.109 mata kepada 11,228.99, Indeks FBMT 100 kurang 128.59 mata kepada 11,015.45, manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 128.19 mata kepada 11,201.34.

Indeks FBM 70 merosot 250.96 mata kepada 16,117.75 dan Indeks FBM ACE menguncup 86.34 mata kepada 4,400.85.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 4.08 mata kepada 147.27, manakala Indeks Tenaga turun 5.05 mata kepada 735.71.

Indeks Perladangan berkurangan 0.40 mata kepada 7,220.52, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 85.83 mata kepada 1,691.89, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 179.87 mata kepada 17,468.38.

Jumlah dagangan susut kepada 13.72 bilion unit bernilai RM10.84 bilion daripada 13.89 bilion unit bernilai RM10.61 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama sebanyak 6.29 bilion unit bernilai RM9.63 bilion berbanding 6.42 bilion unit bernilai RM9.47 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran pula meningkat kepada 6.16 bilion unit bernilai RM845.61 juta daripada 5.97 bilion unit bernilai RM687.92 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 1.25 bilion unit bernilai RM361.21 juta daripada 1.50 bilion unit bernilai RM458.75 juta minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan