EKONOMI

RAKUTEN TRADE TURUNKAN UNJURAN HUJUNG TAHUN FBM KLCI 2025 KEPADA 1,630

20/06/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Rakuten Trade Sdn Bhd menyemak semula sasaran akhir tahunnya bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,630 daripada unjuran awal 1,730, sejajar dengan penurunan pendapatan korporat baru-baru ini.

 Ketua Penyelidikannya Kenny Yee Shen Pin berkata pelabur asing masih belum kembali dalam pasaran ekuiti Malaysia, walaupun penilaian menarik di seluruh pasaran Asia Tenggara, yang seterusnya memberi kesan terhadap keseluruhan sentimen pasaran.

“Memandangkan pendekatan pembelian jangka pendek dalam kalangan dana asing, ditambah pula dengan penurunan pendapatan korporat baru-baru ini, kami telah menurunkan sasaran FBM KLCI 2025 kepada 1,630, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 16.0 kali bagi tahun kalendar 2025,” katanya menerusi satu webinar hari ini.

Yee berkata ketika ini FBM KLCI didagangkan pada PER antara 12 dan 13 kali, yang berada di bawah purata sejarahnya dan penilaian bursa serantau lain.

Beliau menyifatkan aliran dana asing sebagai “mengecewakan” selepas merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM4 bilion pada 2024, dengan keadaan semakin merosot tahun ini yang menyaksikan aliran keluar bersih asing mencecah RM11.2 bilion setakat ini.

“Tahap ini (aliran keluar asing) agak membingungkan, terutamanya memandangkan asas dan politik Malaysia yang stabil dan kukuh, namun kami melihat minat asing yang semakin berkurangan dalam pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata dana bukan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dijangka mengurangkan pendedahan mereka terhadap pasaran AS secara beransur-ansur dan kembali mengalihkan tumpuan kepada Asia, yang boleh menyokong pemulihan semula aliran masuk dana asing dalam tempoh terdekat.

Walaupun aliran keluar asing yang besar, Yee berkata pegangan saham asing dalam bursa tempatan kekal kukuh pada 19.44 peratus setakat Jun 2025.

"Kita hanya boleh menyimpulkan bahawa pelabur asing jangka panjang mungkin akan kembali semula, manakala majoriti pelabur yang keluar adalah peserta pasaran jangka pendek. Buat masa ini, pasaran Hong Kong masih menjadi destinasi utama mereka," katanya.

Sementara itu, Yee mengunjurkan dolar AS akan terus lemah berbanding kumpulan mata wang utama, dengan ringgit berkemungkinan mengukuh pada jajaran 4.10-4.20 menjelang akhir tahun, disokong oleh kebimbangan terhadap kemelesetan di AS yang boleh mendorong penurunan kadar faedah.

"Seperti yang kebanyakan anda tahu, Indeks Dolar AS (DXY) telahpun turun sebanyak 10 peratus setakat ini pada tahun ini berbanding mata wang utama dan banyak pihak menjangkakan indeks dolar akan terus melemah, jadi kita mungkin melihat prestasi ringgit yang lebih baik berbanding dolar AS," katanya.

Di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah, Yee mencadangkan kerajaan agar mengambil pendekatan lebih berhemat dan teliti dalam perancangan rasionalisasi subsidi bahan api RON95.

"Kita mungkin melihat hanya sebahagian rasionalisasi RON95, bergantung pada setinggi mana harga minyak mentah akan naik," katanya.

Setakat pagi ini, ringgit diniagakan lebih tinggi pada 4.2490/2700 berbanding dolar AS, manakala FBM KLCI meningkat 0.22 peratus kepada 1,504.79 pada rehat tengah hari.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan