DUNIA

GAZA BERHADAPAN "KEMARAU CIPTAAN MANUSIA" SUSULAN SISTEM BEKALAN AIR LUMPUH – UNICEF

20/06/2025 11:24 PM

GENEVA, 20 Jun (Bernama-Anadolu) -- Gaza kini berada di ambang “kemarau ciptaan manusia”  dengan kanak-kanak berisiko mati akibat kehausan, kata Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Jumaat, sambil memberi amaran bahawa hanya 40 peratus kemudahan pengeluaran air minuman di wilayah terkepung itu masih berfungsi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kita jauh daripada piawaian kecemasan dari segi bekalan air minuman untuk penduduk Gaza,” kata Jurucakap UNICEF James Elder kepada pemberita semasa sidang akhbar di Geneva.

Menurut Elder, jika sekatan bantuan kemanusiaan yang sedang berlaku tidak dihentikan, “kanak-kanak akan mula mati akibat kehausan.”

“Dalam perang yang telah pun dicirikan dengan kekejaman, Gaza kini berada di ambang kematian yang paling dahsyat,” katanya.

Daripada 217 kemudahan pengeluaran air minuman di Gaza, hanya 87 yang masih beroperasi ketika ini, menurut agensi itu.

“Gaza sedang berdepan situasi yang boleh dianggap sebagai kemarau buatan manusia. Sistem bekalan air semakin lumpuh,” katanya.

“Namun, kerana ini adalah buatan manusia, ia boleh dihentikan,” tegas Elder.

“Tiada satu pun daripada masalah ini bersifat logistik atau teknikal. Ia adalah isu politik. Penafian kini telah menjadi dasar. Jika ada kemahuan politik, krisis air ini boleh diselesaikan dalam masa semalaman,” katanya lagi.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan