DUNIA

SAHAM KEWANGAN PACU KENAIKAN BURSA MALAYSIA PADA TENGAH HARI

20/06/2025 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Jumaat  dengan mencatat kenaikan kecil susulan sokongan belian dalam saham wajaran tinggi, didahului kaunter kewangan yang memacu indeks petunjuk utama, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.22 peratus atau 3.35 mata kepada 1,504.79 daripada 1,501.44, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.50 mata kepada 1,500.94 dan bergerak dalam julat 1,500.04 dan 1,505.16 pada sesi awal.

Bagaimanapun, sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 438 berbanding 231 manakala 442 tidak berubah, sebanyak 1,313 tidak diniagakan dan 25 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.14 bilion saham bernilai RM662.29 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan amanah pelaburan hartanah (REIT) yang disifatkan sebagai sektor berdaya tahan, akan terus mencatat prestasi lebih baik, disokong oleh hasil dividen sektor yang positif dan melebihi lima peratus.

Indeks penanda aras susut dan kekal di bawah garisan purata pergerakan dengan petunjuk teknikal memaparkan tanda-tanda kelemahan yang berterusan.

“Paras rintangan dilihat dalam julat 1,516 hingga 1,521 mata manakala sokongan pada 1,481 hingga 1,486 mata," kata syarikat pembrokeran saham itu.

Mengulas perkembangan luar, Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata sebarang  potensi rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran dijangka menyuntik sokongan kukuh ke atas aset berisiko menjelang akhir minggu ini.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan sektor perkhidmatan kewangan, CIMB naik 11 sen kepada RM6.69, RHB Bank menokok 8.0 sen kepada RM6.32, Hong Leong Bank meraih 16 sen kepada RM19.56 manakala Maybank meningkat 7.0 sen kepada RM9.67.

Axiata naik 3.0 sen kepada RM2.11, Kuala Lumpur Kepong menokok 24 sen kepada RM19.96 manakala Tenaga kekal tidak berubah pada RM14.22.

Bagi saham aktif, PUC naik setengah sen kepada 2.5 sen, Astro Malaysia sebaliknya susut 1.5 sen kepada 16 sen, Pavilion REIT turun 2.0 sen kepada RM1.52, Pan Malaysia Corporation kekal pada 12 sen dan Tanco rugi setengah sen kepada 95 sen.

Di papan indeks pula, Indeks  FBM Emas menambah 8.71 mata kepada 11,232.45, Indeks FBMT 100 menokok 13.77 mata kepada 11,017.78 namun Indeks FBM Emas Shariah susut 33.46 mata kepada 11,199.43.

Indeks FBM 70 menguncup 22.66 mata kepada 16,070.79 dan Indeks FBM ACE turun 30.77 mata kepada 4,384.28.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 141.37 mata kepada 17,471.52 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna susut 0.67 mata kepada 147.57.

Indeks Perladangan menguncup 25.55 mata kepada 7,193.06 dan Indeks Tenaga turun 2.00 mata kepada 737.65.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan