AM

MAJLIS BANDARAYA IPOH BERSIHKAN RUMAH WARGA EMAS DIPENUHI SAMPAH BUAT KALI KELIMA

19/06/2025 10:02 PM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan operasi pembersihan di rumah milik seorang warga emas di Jalan Merpati, Taman Ipoh di sini buat kali kelima sejak 2020 susulan aduan berterusan berhubung longgokan sampah yang memenuhi premis berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah berkata operasi penghapusan kacau ganggu itu dilakukan menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan tiga lori berkapasiti lima tan digunakan bagi melupuskan sampah dari kediaman wanita berusia 71 tahun itu.

Beliau berkata meskipun dua tindakan mahkamah telah diambil sejak lima tahun lepas, namun aduan terus diterima ekoran pemilik premis masih meneruskan aktiviti pengumpulan barangan kitar semula yang disimpan di halaman rumah sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada komuniti setempat.

"Bagi operasi kali ini, penglibatan JKM merupakan inisiatif tambahan bagi mencari penyelesaian lebih berkesan dan berperikemanusiaan, khususnya bagi membantu warga emas terbabit agar tidak terus mencemarkan imej kawasan persekitaran dan bandar raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi bermula 9 pagi dengan kekuatan 26 anggota MBI dan sembilan anggota serta sukarelawan JKM telah dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang insiden, selain pemilik premis turut memberikan kerjasama penuh kepada pasukan operasi.

Operasi kali kelima itu diketuai oleh Ahli Majlis MBI Lam Yew Tact, Penasihat Undang-Undang Bandaraya MBI Syahrul ‘Azrin Ghazali dan wakil JKM Syed Abdul Halim Hilmy Syed Omar.

Zamakhshari berkata barangan yang masih boleh dikitar semula telah dikumpul dan dijual menerusi bantuan sukarelawan JKM dengan hasil jualan diserahkan kepada warga emas terbabit sebagai antara bentuk sokongan kebajikan.

"MBI berharap pendekatan bersepadu sebegini dapat menjadi contoh dalam menangani isu sosial berasaskan aduan awam secara holistik dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas serta pendekatan kebajikan berhemah," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan