EKONOMI

PETRONAS SEDIA MAIN PERANAN PENYELESAIAN BEKALAN TENAGA, KELESTARIAN

19/06/2025 09:44 PM

Oleh Kamarul Ariffin Md Yasin dan Siti Nurhana Shafirah Mat Nazir

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bersedia memainkan peranan dalam penyelesaian isu pembekalan tenaga, sekali gus menangani isu dan cabaran kelestarian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata penganjuran Persidangan Energy Asia 2025 yang berakhir semalam, membuka peluang bagi kerjasama rentas industri dalam menyampaikan penyelesaian praktikal dan berskala. 

"Alhamdulillah, Energy Asia sebagai satu platform telah dipandang sebagai satu platform yang neutral dan tidak ada agenda di sebaliknya, hanya untuk membekalkan tenaga, sekali gus menangani isu dan cabaran kelestarian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV  semasa persidangan Energy Asia di sini semalam.

Beliau berkata agenda kelestarian agak mencabar dan diberikan keutamaan kerana ia berkaitan dengan kelangsungan bekalan tenaga, terutamanya dalam konteks ketidakstabilan geopolitik serta pelbagai ketidaktentuan lain.

Menurutnya cabaran yang dihadapi berkaitan bekalan tenaga bukanlah rintangan yang dapat ditangani oleh mana-mana satu entiti, industri atau sektor.

Beliau berkata ini termasuk inisiatif yang baru dilaksanakan di Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan wujud sumber tenaga boleh baharu (TBB) daripada Vietnam melalui Malaysia dan mungkin dibekalkan kepada Malaysia dan Singapura yang memiliki pusat permintaan.

"Di sini pendekatan yang membawa tiga negara bekerjasama ini dapat menangani dan mungkin menyelesaikan masalah di mana sumber ataupun adanya bekalan TBB ini, tidak sama dengan lokasi pusat permintaan tenaga.

“Saya akui, saya akur pelaburan yang amat besar, tetapi kalau didekati dengan betul dan dengan ada keseragaman dan polisi, rasanya Asia dan ASEAN terutamanya, dapat menyerlah sekali lagi dengan penyelesaian yang realistik dan tanpa perlu menunggu masa terlalu panjang," katanya.

Persidangan Energy Asia 2025 bertemakan 'Delivering Asia’s Energy Transition' diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan persidangan itu berjaya mengumpulkan lebih 4,000 delegasi, hampir 40 industri merentasi lebih 60 negara.

Acara dwitahunan berkenaan akan kembali sebagai Energy Asia 2027 pada 2 hingga 4 Jun 2027.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan