AM

'KEAJAIBAN' ILMU FALAK, TARIK GOLONGAN MUDA DALAMI PENGETAHUAN

19/06/2025 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Ilmu falak semakin mendapat perhatian dalam kalangan golongan muda apabila lebih 270 pelajar daripada 32 sekolah di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya menyertai Seminar Falak: Simfoni Keajaiban Di Langit Semesta 2025 yang diadakan di ibu negara, hari ini. 

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata seminar berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman ilmu falak syarie yang berkait rapat dengan fenomena langit, sistem cakerawala serta penetapan kiblat dan waktu ibadah dalam Islam.

Program itu dianjurkan oleh oleh Pondok Moden Al-Abaqirah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).

“Minat pelajar terhadap ilmu falak ini juga dapat dilihat apabila 18 sekolah telah menubuhkan Kelab Falak dan usaha mengembangkan kelab tersebut sedang giat dilakukan.

“Melalui kelab tersebut pelajar bukan sahaja didedahkan kepada teori falak, tetapi turut mencatat pelbagai pencapaian, antaranya muncul johan peringkat kebangsaan dalam acara ‘roket air parachute’ sempena Karnival Falak Melaka 2019,” katanya pada majlis penutupan seminar tersebut, di sini hari ini. 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Fauzi Abidin, Pengurus Pembangunan Insan MAIWP Farizah Kamaruddin, petugas-petugas MAIWP, guru-guru dan pelajar.

Syed Kamarulzaman berkata ilmu falak memainkan peranan penting bukan hanya dalam ibadah umat Islam, tetapi juga dalam perkembangan teknologi moden seperti sistem kedudukan sejagat (GPS) dan telekomunikasi.

Beliau berkata ketika ini di Malaysia terdapat 29 lokasi rasmi cerapan hilal yang telah diwartakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia bagi melihat anak bulan termasuk untuk menentukan permulaan Ramadan, Syawal dan penetapan awal bulan bulan dalam Islam.

Sementara itu, Naibah Al Mudir Korikulum Pondok Moden Al-‘Abaqirah Nur Hidayah Mohd Yusoff berkata institusi tidak ketinggalan untuk turut menubuhkan Kelab Falak bagi memberi kesedaran kepentingan ilmu falak dan astronomi kepada pelajar.

“Kelab Falak di Pondok Moden Al-‘Abaqirah ini berdaftar di bawah PMWP dan kami mengikuti modul pembelajaran yang disarankan oleh pihak berkuasa tersebut. Antara topik yang diajar termasuk kaedah menentukan arah kiblat serta asas tentang matahari, planet dan galaksi,” katanya.

Hidayah berkata kelab tersebut turut mengambil bahagian dalam pertandingan berunsur ilmiah dan kreatif seperti roket air, sajak, konvensyen dan kuiz di peringkat anjuran Pejabat Mufti.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan