AM

JASAD MENDIANG PALANIVEL SELAMAT DISEMADIKAN

19/06/2025 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Jasad bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel selamat disemadikan di Pertubuhan Perkuburan India Wilayah Persekutuan (Sentul Hindu Crematorium) Sentul di sini, pada kira-kira 4.30 petang ini.

Terdahulu, jasad mendiang dibawa menaiki van dari kediamannya di Jalan Bangkung Taman Bandaraya, Bangsar pada 3 petang sebelum tiba di krematorium berkenaan 45 minit kemudian. 

Upacara selama 45 minit itu berlangsung dalam suasana hiba, dihadiri kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, Naib Pengerusi MIC Datuk T. Murugiah serta orang awam.

Murugiah ketika ditemui Bernama menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada parti serta masyarakat dan pengorbanan beliau akan sentiasa dikenang.

Palanivel meninggal dunia pada 8 pagi Selasa lepas di Hospital Kuala Lumpur, meninggalkan isteri, Datin Seri P. Kanagam serta empat anak lelaki.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Pada 1984, beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.

Palanivel aktif dalam politik menerusi MIC sejak awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1990. Beliau menerajui MIC pada 2010 selepas Samy Vellu berundur.    

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008 dan kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi Cameron Highlands.

Mendiang juga memainkan peranan penting dalam kepimpinan MIC bermula sebagai Bendahari Agung parti dari 1991 hingga 1994 sebelum dilantik sebagai Naib Presiden pada 1995, jawatan yang dipegang beliau selama 10 tahun.

Beliau kemudian meneruskan laluan kepimpinan sebagai Timbalan Presiden dari 2006 hingga 2010 dan dilantik menjadi Presiden MIC pada Disember 2010 seterusnya menerajui parti hingga 2015.

Sepanjang tempoh tersebut, Palanivel dikenali sebagai tokoh yang gigih memperjuangkan hak dan pembangunan masyarakat India serta membawa pelbagai perubahan dalam struktur parti.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan