AM

ANAK SIFATKAN PALANIVEL BAPA YANG BAIK HATI, CONTOH TERBAIK

18/06/2025 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dikenang oleh ahli keluarganya sebagai seorang yang baik hati, adil serta memberi inspirasi.

Anak bongsu mendiang, Sharavanahvel, 31, menyifatkan pemergian bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu sebagai kehilangan yang tidak boleh diganti, bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga masyarakat.

“Satu kehilangan sangat besar bagi saya dan keluarga. Berdasarkan kata-kata semangat yang kami terima, saya percaya beliau juga menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita pada upacara penghormatan terakhir di rumahnya di sini hari ini.

Mengimbau kenangan manis sewaktu kecil, Sharavanahvel berkata walaupun bapanya mempunyai jadual kerja yang padat, mendiang sentiasa meluangkan masa membawanya pergi memancing.

“Saya baru sahaja memberitahunya betapa besarnya inspirasi yang telah beliau berikan dan betapa besarnya tanggungjawab yang ditinggalkan untuk saya dan adik beradik galas," katanya yang berkongsikan perbualan terakhirnya dengan bapanya.

Sharavanahvel turut mengucapkan terima kasih atas ucapan takziah dan sokongan yang tidak putus-putus daripada semua pihak kepada keluarganya.

Palanivel, 76, meninggal dunia pada 8 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur dan meninggalkan isteri, Datin Seri P. Kanagam serta empat anak.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Pada 1984, beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.

Palanivel aktif dalam politik menerusi MIC sejak awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1990. Beliau menerajui MIC pada 2010 selepas Samy Vellu berundur.    

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008.

Palanivel kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi kawasan Cameron Highlands.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan