AM

KPDN BERI JAMINAN PENGUATKUASAAN OPS GASAK TIDAK DIKENAKAN TERHADAP PENIAGA MIKRO

19/06/2025 05:31 PM

JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan penguatkuasaan Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) tidak akan dikenakan terhadap peniaga mikro, termasuk dobi layan diri dan kedai makan sehingga 31 Oktober ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata operasi bagi mengekang ketirisan penggunaan tong atau silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi itu adalah melibatkan sektor industri.

“Sekiranya penguat kuasa (Ops Gasak) turun padang (premis mikro), ia lebih kepada mengutip maklumat dan data.

“Sebab kita hendak tahu secara tepat macam mana penggunaan (LPG) dan sebagainya, sebab seperti dobi layan diri dan kedai makan, (perkhidmatan) mereka memberi kesan terus kepada pengguna,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Penggunaan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Mohd Fuzi Hadi Abd Latif.

Beliau dalam pada itu meminta peniaga mikro mendapatkan permit barang kawalan sekiranya menggunakan tong LPG melebihi 42 kilogram iaitu lebih tiga tong 14 kilogram pada satu-satu masa bagi tujuan keselamatan.

“Contohnya, apabila kedai makan itu ada lebih daripada tiga tong gas, maka perlu mohon permit kerana ini adalah aspek keselamatan, yang ini kekal.

“Cuma sebelum ini, dalam pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, ini kita lihat peraturannya apabila mereka memohon permit, mereka perlu guna (LPG) tanpa subsidi. Oleh kerana itu kita kena melihat semula (perkara itu),” katanya.

Justeru, Fuziah berkata KPDN mengadakan libat urus bersama pemain industri terdiri daripada peniaga mikro serta syarikat petroleum, persatuan peniaga, pemborong LPG, pengusaha restoran dan dobi mengenai operasi itu seperti yang dilakukan di Johor hari ini.

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini dilaporkan berkata kementerian berkenaan melaksanakan Ops Gasak sejak 1 Mei lepas bagi mengekang ketirisan dan penyelewengan tong LPG bersubsidi terhadap sektor industri dan komersial.

Operasi yang dilaksanakan sehingga 31 Oktober itu adalah inisiatif penguatkuasaan terkini yang dilancarkan di bawah Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) yang dilancarkan pada 19 Oktober lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan