Oleh Arul Rajoo Durar Raj
ST. PETERSBURG (Rusia), 19 Jun (Bernama) -- Perhimpunan Agung Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) ke-19, perhimpunan utama agensi berita serantau, bermula di bandar kedua terbesar di Rusia pada Khamis.
Dianjurkan oleh agensi TASS Rusia dengan tema "Agensi Berita dan Cabaran dalam Dunia Moden", sesi pleno pertama perhimpunan agung itu dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Pengarah TASS Andrey Kondrashov.
Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), selaku Presiden semasa OANA, tidak menghadiri perhimpunan itu kerana delegasinya tidak dapat melakukan perjalanan ke bandar bekas empayar itu susulan konflik yang sedang berlangsung antara negara itu dan Israel.
Lebih 100 wakil agensi berita dari lebih 30 negara menghadiri perhimpunan itu di sini.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA ke-54 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Februari lalu telah memutuskan untuk memberikan hak penganjuran Perhimpunan Agung ke-19 kepada TASS di St. Petersburg.
Menurut TASS, para perwakilan OANA juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di luar Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) yang turut berlangsung di sini.
Perhimpunan Agung, yang merupakan badan pentadbiran tertinggi OANA, akan memilih jawatankuasa eksekutif baharu, naib presiden organisasi, serta jawatankuasa teknikal dan etika.
TASS turut akan mengambil alih jawatan Presiden OANA bagi tempoh tiga tahun akan datang, dengan tanggungjawab mengurus laman web OANA dan hal-hal organisasi lain.
OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif (UNESCO) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memudahkan pertukaran berita secara langsung dan bebas dalam kalangan agensi berita di rantau itu yang merangkumi lebih separuh daripada populasi dunia.
OANA kini mempunyai 41 agensi berita anggota dari 33 negara, dengan 13 agensi menganggotai Lembaga Eksekutifnya.
Selain Bernama dan TASS, ahli OANA lain termasuk Agensi Berita Yonhap (Korea Selatan), Azertac (Azerbaijan), Anadolu Ajansi (Turkiye), Xinhua (China), Agensi Berita Emirates (WAM), Kyodo News (Jepun), Agensi Berita Qatar, Agensi Berita Vietnam, Montsame (Mongolia), Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional atau ANTARA (Indonesia) dan Agensi Berita MEHR (Iran).
-- BERNAMA