JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS BINCANG DENGAN PIHAK BERKAITAN, SIASAT PUNCA LETUPAN DI IPOH

19/06/2025 03:05 PM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Polis akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai jabatan serta agensi berkaitan dalam masa terdekat, bagi mengetahui punca bunyi letupan dan gegaran di beberapa kawasan di sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pihaknya telah melakukan siasatan awal termasuk mendapatkan maklumat daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan orang awam yang merasai gegaran itu.

“JMG memaklumkan letupan dan gegaran bukan berpunca daripada aktiviti kuari dan siasatan akan diteruskan memandangkan kejadian lebih kurang sama berlaku tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Hisam berkata setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kerosakan harta benda awam atau persendirian akibat kejadian itu, dan beliau meminta orang awam tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Semalam, orang ramai mendakwa mendengar bunyi letupan dan gegaran sekitar Chemor dan Chepor pada 10.30 pagi, namun sehingga kini puncanya masih belum diketahui.

Pada 21 Okt tahun lepas, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya, antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput pada 11.06 pagi, disusuli dentuman kuat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan