AM

BUNYI LETUPAN, GEGARAN DI IPOH: TIADA LATIHAN LIBATKAN LETUPAN DI PGA - POLIS

18/06/2025 06:32 PM

IPOH, 18 Jun (Bernama) -- Polis memaklumkan bahawa tiada sebarang latihan melibatkan letupan diadakan di Briged Utara Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta hari ini, susulan kejadian bunyi letupan dan gegaran di sekitar Chemor dan Chepor kira-kira 10.30 pagi tadi. 

 Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kerosakan harta benda daripada mana-mana pihak susulan insiden berkenaan. 

"Beberapa pasukan petugas telah digerakkan ke lokasi terlibat bagi tujuan pemantauan dan mendapatkan maklumat awal daripada orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, siasatan menyeluruh masih diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, beliau berkata semakan Pejabat Tanah dan Galian mengesahkan tiada sebarang aktiviti letupan kuari dijalankan sebelum 12 tengah hari.

Semakan turut dibuat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan didapati tiada aktiviti seismik direkodkan di sekitar daerah Ipoh.

Abang Zainal Abidin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ipoh di talian 05-254 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pada 21 Okt tahun lepas, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini, antranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor, dan Sungai Siput kira-kira 11.06 pagi yang disusuli bunyi dentuman kuat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan