KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata ASEAN kekal komited untuk menyokong keanggotaan penuh Timor-Leste dalam kumpulan serantau itu, namun mengakui bahawa proses memenuhi keperluan utama adalah rumit dan mengambil masa.
Anwar berkata para pemimpin ASEAN menyedari cabaran struktur dan institusi yang dihadapi Timor-Leste, namun beliau yakin terhadap komitmen negara itu untuk memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Sekarang ini, jalannya sukar kerana memenuhi ketiga-tiga tonggak adalah satu tugas mencabar.
“Dan mereka juga sedar bahawa para pemimpin ASEAN boleh menerimanya... hanya untuk memastikan kemasukan mereka, dengan kefahaman yang jelas bahawa mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya semasa sesi soal jawab pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-38 di sini pada Khamis.
Anwar turut memuji Sekretariat ASEAN kerana aktif menyelaras usaha bagi memudahkan persediaan Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh, termasuk menjalankan penilaian kesiapsiagaan dari segi sistem perundangan, kewangan dan parlimen.
Walaupun integrasi ekonomi kekal sebagai halangan utama, Anwar berkata usaha penglibatan serta galakan pelaburan sedang giat dijalankan.
“Langkah pertama ialah negara-negara perlu terlibat, mempromosikan perdagangan dan pelaburan, dan pada masa sama menggunakan peluang itu untuk membina institusi.
“Setakat ini, kami agak berpuas hati dengan tahap komitmen yang ditunjukkan, walaupun diakui bahawa beberapa aspek bergerak lebih perlahan daripada apa yang kami jangkakan sebelum ini,” katanya.
Anwar berkata beliau turut membangkitkan isu itu dengan Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta pada Rabu serta dengan Perdana Menteri Xanana Gusmao dalam perbincangan bulan lalu, sambil menegaskan semula sokongan Malaysia dan harapan untuk melihat kemajuan yang stabil dalam tempoh lima tahun akan datang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut berkongsi bahawa beliau turut menyentuh mengenai Timor-Leste semasa kunjungan hormat oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips Ryan Lance, di Putrajaya pada Rabu.
“Saya menghadiri mesyuarat dengan ConocoPhillips semalam. Mereka sangat optimis dengan prospek di Malaysia dan Sabah, malah juga di Timor-Leste,” katanya.
-- BERNAMA