EKONOMI

JS-SEZ BANTU JOHOR JADI HAB INOVASI, PELABURAN SERANTAU

18/06/2025 09:33 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Jun (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) muncul sebagai asas transformasi Johor sebagai kuasa besar serantau generasi akan datang, dengan negeri itu menawarkan cadangan nilai yang menarik kepada pelabur global dalam kecerdasan buatan (AI), pusat data dan industri bernilai tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata JS-SEZ, yang dibangunkan hasil kerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan Malaysia dan Singapura, bertujuan menyelaraskan peraturan rentas sempadan, membuka laluan perdagangan dan melancarkan pergerakan tenaga kerja antara kedua-dua negara.

“Zon ini akan menjadikan Johor lebih berdaya saing dan berkait,” katanya dalam ucapan penutup hari pertama Nikkei Forum Medini 2025 di sini hari ini.

Beliau menekankan bahawa Johor bukanlah penerima pasif dasar persekutuan atau luar, tetapi ejen aktif membentuk pertumbuhan serantau menerusi strategi jangka panjang yang koheren yang berteraskan kejelasan, konsistensi dan kapasiti.

Lee berkata, di tengah-tengah transformasi itu ialah Medini, iaitu bandar pintar utama yang disifatkan sebagai ‘makmal inovasi awam-swasta’, yang setakat ini menarik lebih RM13 bilion pelaburan terkumpul dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan perniagaan dan infrastruktur pintar.

“Medini bukan sekadar hartanah, ia merupakan platform kerjasama inovasi. 

“Sekarang merupakan masa untuk beralih daripada dialog kepada tindakan menerusi MoU, projek perintis dan perkongsian yang berkekalan,” katanya.

Oleh itu, Lee menggesa penggubal dasar dan institusi untuk mengiktiraf bahawa pembangunan negara digital yang mampan bergantung kepada tindakan bersepadu merentas rangka kerja teknologi, tenaga, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Apa yang kita bina hari ini mencerminkan keperluan untuk kesepaduan merentas sektor. Marilah kita beralih daripada konsensus kepada pelaksanaan,” katanya.

Menurut Lee, Johor dalam proses peralihan asas daripada asas perindustrian tradisional kepada kuasa ekonomi generasi akan datang, didorong oleh inovasi dasar, kesediaan infrastruktur dan keyakinan pelabur.

Sementara itu, Nikkei Forum Medini 2025 yang berlangsung selama dua hari itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meletakkan Johor sebagai hab inovasi serantau, menyokong inisiatif JS-SEZ bagi menarik pelaburan berkualiti dan menyepadukan rantaian nilai antara Malaysia dan Singapura.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan