GEORGE TOWN, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memuktamadkan kerjasama dengan Kerajaan Pulau Pinang dalam usaha melahirkan lebih banyak jurutera melalui Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang (PCDA).
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata akademi itu adalah projek di bawah kerajaan negeri dan KESUMA bakal memberi nilai tambah kepada inisiatif berkenaan.
“PCDA ini bertujuan untuk memajukan sektor semikonduktor dan sektor berteknologi tinggi di Pulau Pinang. Jadi, ia memang sebuah institusi yang bertujuan untuk melatih anak-anak muda, pekerja-pekerja dan modal insan dalam sektor ini.
“KESUMA mahu lihat bagaimana kita boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk merancakkan lagi program latihan kemahiran di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Jelajah Pembelajaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 - Wilayah Utara di sini hari ini.
Pulau Pinang menubuhkan akademi itu tahun lepas bagi memperkukuh reka bentuk litar bersepadu (IC) dan sektor digital untuk menyokong rancangan negeri itu membangunkan Reka Bentuk IC dan Taman Digital.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan satu kerjasama strategik antara Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) di bawah Program Meister Teknologi Lanjutan (ATMP).
“Menerusi inisiatif ini, kami memperkenalkan Program Dana Padanan bagi Pembangunan Kemahiran yang akan membantu industri tempatan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang teknologi termaju.
“Majikan boleh membangunkan latihan bersama institusi pembelajaran pilihan mereka, dengan sokongan pembiayaan daripada HRD Corp melalui levi dan NCIA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.
Beliau berkata usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mencapai sasaran 30 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.
Bagi membantu komuniti nelayan memperkukuh taraf sosioekonomi keluarga mereka, KESUMA mengumumkan kelulusan pelaksanaan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran untuk keluarga Nelayan dan Komuniti Setempat di Pulau Pinang Selatan di bawah Inisiatif Latihan Impak Berfokus (FITI).
Sim berkata menerusi program itu, sebanyak 420 peserta daripada komuniti itu akan menerima latihan dalam pelbagai bidang, termasuk kursus jurumudi, penyelia keselamatan tapak, aplikasi komputer dan pegawai keselamatan.
“Objektif program ini adalah untuk memastikan keluarga nelayan tidak terpinggir daripada peluang kemajuan ekonomi hasil pembangunan projek Pulau Silikon,” katanya.
-- BERNAMA