AM

ANGKASA YAKIN CAPAI SASARAN RM73 BILION PEROLEHAN GERAKAN KOPERASI TAHUN INI

18/06/2025 05:26 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) optimis mampu mencapai sasaran perolehan gerakan koperasi sebanyak RM73 bilion yang ditetapkan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 lebih awal iaitu tahun ini.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah berkata keyakinan itu berdasarkan jumlah perolehan semasa dan pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan perniagaan koperasi di seluruh negara.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang baik membolehkan gerakan koperasi mencatat pertambahan perolehan kira-kira RM5 bilion setiap tahun, ditambah dengan gerak kerja dan sokongan kuat daripada pihak kerajaan.

“Pelbagai inisiatif kerajaan untuk membantu merancakkan aktiviti perniagaan koperasi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan perolehan syarikat.

“Pada tahun lepas, kerajaan meluluskan RM2 juta untuk 200 koperasi di bawah ANGKASA yang terlibat dalam program Jualan Rahmah MADANI. Jumlah itu bertambah tahun ini kepada 444 koperasi dengan nilai RM10 juta,” katanya pada Majlis Apresiasi Koperasi ANGKASA Terengganu 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu Awang Ruslli Mohammad dan Pengerusi ANGKASA Terengganu Mohamed Yusoff.

Abdul Fatah berkata pihaknya juga menyasarkan untuk menubuhkan 400 koperasi kariah masjid tahun ini iaitu tambahan kepada 600 koperasi sedia ada.

Beliau berkata penglibatan koperasi dalam bidang pengeluaran makanan dan peruncitan juga amat digalakkan bagi menjana pendapatan kepada ahli.

“Bagi sektor peruncitan, ANGKASA telah menaik taraf 3,500 kedai runcit menggunakan platform digital dalam urusan perniagaan.

“Selain itu, kita juga sediakan kredit pusingan minimum RM10,000 untuk satu koperasi. Kita sedang giat untuk wujudkan koperasi peruncitan baharu khususnya koperasi komuniti,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan