AM

EPIC BHD, HRD CORP BEKERJASAMA JAYAKAN NTW 2025

18/06/2025 10:06 AM

Beliau berkata NTW ialah satu inisiatif nasional yang inklusif, berskala besar dan dirangka untuk menyemarakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di seluruh pelosok negara.

"Kami amat berbesar hati kerana diberikan peluang menjadi sebahagian daripada NTW 2025 bagi negeri di Pantai Timur kerana ia mengangkat potensi dan peranan syarikat dengan lebih meluas dan signifikan.

"Bertemakan Pembelajaran Merentasi Sempadan, inisiatif ini dapat memperhebat aspek peningkatan kemahiran (upskilling), kemahiran semula (reskilling) serta pemerkasaan ilmu yang lebih holistik dan relevan dalam menghadapi realiti baharu pasaran kerja pascapandemik dan era Revolusi Industri 4.0,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Latihan Berimpak Tinggi Sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Ibu Pejabat EPIC Bhd, Kemaman Supply Base (KSB), di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu  Datuk Hanafiah Mat dan Ketua Wilayah Operasi Serantau HRD Corp Muhamad Hafez Kamaruddin.

Mukhtar berkata bersempena dengan NTW, EPIC Bhd mengambil inisiatif menganjurkan Minggu Sumber Manusia 2025 (HR Week 2025) yang padat dengan pengisian berstruktur merangkumi latihan teknikal, pembangunan insaniah, ceramah kerjaya, program kesejahteraan mental dan fizikal serta dialog dengan agensi-agensi kerajaan.

Turut berlangsung sesi perkongsian dan latihan berimpak tinggi bersama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta beberapa lagi rakan strategik.

"Latihan ini meliputi pelbagai topik relevan pada masa ini seperti kecerdasan buatan (AI), pengurusan kewangan peribadi, etika dan imej profesional serta pengurusan kendiri.

"Semuanya bertujuan melengkapkan warga kerja EPIC dengan kemahiran semasa dan nilai tambah bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sentiasa berubah-ubah.

"HR Week 2025 bukan sekadar melengkapkan keperluan latihan tahunan, tetapi juga satu platform untuk menyuburkan budaya pembelajaran berterusan dan menyemai nilai-nilai yang menjadi asas organisasi dalam kalangan warga EPIC Bhd," katanya.

Mukhtar berkata keterlibatan EPIC dalam NTW 2025 akan memperkukuh reputasi syarikat sebagai organisasi yang progresif dan bertanggungjawab dalam membangunkan potensi kerja.

Malah, katanya ia mampu membuka ruang kerjasama lebih luas antara pihak industri, akademik serta badan kerajaan dalam membina ekosistem sumber manusia yang mampan dan berdaya tahan.

EPIC Bhd ialah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu yang beroperasi dalam industri minyak dan gas, serta perkhidmatan berkaitan. 

Syarikat yang berpangkalan di Kemaman itu juga sedang mengembangkan perniagaan dalam tenaga boleh baharu, termasuk pemasangan dan penyelenggaraan solar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan