AM

FINAS CADANG LANJUT TEMPOH PENGIRAAN KELAYAKAN SKIM WAJIB TAYANG KEPADA EMPAT HARI

17/06/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bercadang melanjutkan tempoh pengiraan jumlah penonton bagi menentukan kelayakan tayangan penuh filem tempatan di bawah Skim Wajib Tayang daripada tiga kepada empat hari tayangan awal.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata cadangan itu antara penambahbaikan dalam pindaan Akta Finas 1981 bagi memastikan peluang lebih adil kepada penerbit tempatan.

“Ramai yang masih keliru dengan skim ini. Walaupun digelar wajib tayang 14 hari, ia tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu filem perlu mencapai 15 peratus kutipan penonton dalam tiga hari pertama tayangan dan 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penonton di pawagam bagi kekal ditayangkan di lokasi utama.

“Jadi kita cadangkan supaya pengiraan 15 peratus itu dilanjutkan kepada empat hari iaitu dari Khamis hingga Ahad memandangkan jumlah penonton biasanya lebih tinggi pada hujung minggu,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata Skim Wajib Tayang merupakan satu-satunya mekanisme seumpamanya di dunia yang diperkenal bagi melindungi filem tempatan daripada persaingan lambakan filem antarabangsa, berbeza dengan negara lain yang mengamalkan sistem kuota seperti China dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, Azmir Saifuddin mengingatkan penerbit agar mengemukakan permohonan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tayangan bagi membolehkan jawatankuasa penilai menyusun jadual secara teratur.

“Kita di Finas juga akan lebih proaktif dengan berkongsi maklumat jadual tayangan tahunan agar penerbit boleh merancang tarikh dan lokasi terbaik,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran utama pelaksanaan skim itu ialah perubahan tabiat penonton pascapandemik COVID-19 yang lebih selektif dan kurang menonton filem di pawagam.

“Dulu penonton pergi tiga atau empat kali sebulan, sekarang mungkin sekali sahaja. Jadi, cabarannya ialah bagaimana penerbit hendak menyusun tarikh dan lokasi tayangan,” katanya.

Sebagai sokongan tambahan, Azmir Saifuddin berkata Finas turut berkongsi data trend tontonan termasuk genre dan lokasi yang menerima sambutan mengikut statistik semasa.

“Contohnya, filem seram berbahasa Melayu mungkin lebih mendapat sambutan di kawasan seperti Wangsa Maju atau Hulu Kelang manakala filem Tamil pula mempunyai kawasan tumpuan tersendiri,” katanya.

Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac, yang turut menjadi tetamu program itu, pula berkata pemilihan slot tayangan yang strategik perlu diberi keutamaan bagi memastikan filem tempatan memperoleh peluang adil untuk menarik penonton ke pawagam.

“Dulu, masa saya jadi penerbit, saya pun nak tahu filem saya ditayangkan pukul berapa. Kalau 10 pagi atau waktu solat, siapa nak tengok filem Melayu?” katanya.

Beliau turut menyarankan penerbit agar melantik syarikat pengedaran dan pemasaran yang berpengalaman serta tidak mengendalikan semua aspek sendiri semata-mata mahu menjimatkan kos.

“Pelaburan dalam aspek pemasaran turut memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah filem,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan