AM

KLINIK RESUME TARIKAN UTAMA GOLONGAN MUDA PADA KARNIVAL KERJAYA KPT 2025 

14/06/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Klinik Resume antara tarikan utama para graduan dan orang ramai yang berkunjung ke Karnival Kerjaya Nasional 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini berjaya mengumpulkan lebih 100 syarikat terkemuka tempatan daripada pelbagai sektor utama antaranya investED, Bank Negara Malaysia, Malaysia Airports Holdings Bhd, Paynet, Infineon Technologies, IJM Corporation Bhd, SD Guthrie Bhd dan Tenaga Nasional Bhd.

Pekerja swasta dalam bidang perakaunan Ahmad Danial Ihsan Nordin, 26, berkata Klinik Resume sangat membantunya dalam menyediakan resume yang lengkap dan berkualiti.

“Kita tidak perlu resume yang ayatnya terlalu bombastik, cukup sekadar padat dan terus kepada inti pati,” katanya ketika ditemui Bernama pada karnival berkenaan hari ini.

Ahmad Danial menyifatkan penyertaan pada Klinik Resume sebagai satu pengalaman yang berharga dan memberi banyak pengetahuan kepadanya.

Beliau turut berharap agar program seperti ini dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai individu mempelajari cara menulis resume dengan betul.

Senada dengan pendapat itu, graduan lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang Noor Fazhilah Haron, 23, berkata program berkenaan dapat membantu dalam membimbing golongan muda memahami potensi dan arah kerjaya mereka.

“Saya hadir ke karnival ini dengan tujuan untuk mencari pekerjaan kerana saya baru sahaja menamatkan pengajian. Fokus utama saya adalah dalam bidang muamalat.

“Kita hanya perlu datang bawa resume dan pihak mentor yang akan semak serta berikan panduan untuk membaiki resume itu” katanya.

Sementara itu, pengurus sumber manusia di sebuah syarikat pembayaran digital Jasper Tan berkata Klinik Resume itu terbukti sebagai inisiatif yang berkesan untuk membantu pencari kerja, terutamanya graduan baharu dalam melengkapkan dokumen permohonan mereka dan meningkatkan peluang disenarai pendek untuk ditemu duga.

Tan, yang mempunyai pengalaman dalam pengambilan pekerja selama lapan tahun berkata resume atau vitae kurikulum (CV) yang dibuat dengan baik memainkan peranan penting kerana ia adalah langkah pertama dalam proses permohonan kerja.

“Klinik Resume adalah penting. Jika seseorang itu telah berusaha tetapi masih tidak mendapat pekerjaan, adalah baik untuk mereka datang ke Klinik Resume ini bagi mendapatkan nasihat daripada penemu duga atau profesional tentang cara menambah baik dan mencantikkan CV mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan