BANGI, 12 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 34,819 laporan berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga April 2025.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata berdasarkan laporan berkenaan, sebanyak 5,145 kertas siasatan dibuka melibatkan penahanan 5,703 individu, dengan 2,479 telah didakwa manakala 1,274 disabitkan kesalahan di mahkamah.
Beliau berkata dalam tempoh lima tahun itu juga, SPRM telah menyita aset bernilai RM3.54 bilion dan melucut hak aset berjumlah RM27.87 bilion.
“Justeru, peranan graduan dalam bidang penguatkuasaan dan antirasuah amat penting bukan sahaja untuk bebas daripada rasuah, tetapi juga memikul tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran, memupuk kefahaman dan menjadi ejen perubahan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah Kali Ke-2 Tahun 2025 anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini hari ini.
Beliau berkata tiada kompromi terhadap mana-mana pesalah rasuah termasuk anggota SPRM sendiri dan tindakan tegas akan diambil sekiranya ada antara mereka yang didapati bersalah dan didakwa di mahkamah.
Azam berkata era pascapandemik dan krisis ekonomi global telah meningkatkan tekanan sosial, melebar jurang ketidaksamaan serta membuka peluang baharu untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
"Justeru, adalah keperluan untuk melahirkan pegawai penguat kuasa, penyelidik, pendidik dan pembuat dasar yang berintegriti tinggi untuk memainkan peranan dalam menghadapi cabaran berkenaan,” katanya.
Beliau berkata SPRM juga menggesa semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, institusi akademik, sektor swasta dan masyarakat terus menyokong usaha memerangi rasuah bukan sahaja melalui penguatkuasaan malah meliputi pendidikan, penyelidikan, pembangunan dasar dan pendekatan teknologi.
“Kami percaya, usaha pencegahan rasuah yang berkesan bermula dengan pemupukan nilai-nilai murni sejak usia muda. Ia bermula di rumah, diteruskan di sekolah dan diperkukuh di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Sementara itu, majlis konvokesyen hari ini menyaksikan 210 graduan menerima pentauliahan masing-masing, terdiri daripada 63 graduan Diploma Lepasan Ijazah dalam Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa: Kepimpinan Anti-Rasuah (Tahap 7) dan 147 graduan Diploma Profesional dalam Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa: Pengajian Antirasuah (Tahap 5).
Kerjasama antara SPRM menerusi MACA dan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom yang bermula pada 2017 itu bermatlamat melahirkan profesional penguatkuasaan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi turut memiliki asas etika dan moral yang kukuh.
-- BERNAMA