AM

TERUSKAN PERANAN WARTAWAN BINA MASA DEPAN NEGARA - ARMIZAN

14/06/2025 06:18 PM

KOTA BELUD, 14 Jun (Bernama) -- Wartawan dan pengamal media perlu meneruskan semangat dan perjuangan dalam memainkan peranan penting membina masa depan negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata sumbangan wartawan merupakan salah satu komponen penting yang telah membantu membangunkan negara yang wajar diberikan pengiktirafan oleh semua pihak.

Sempena kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, Armizan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh wartawan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

"Jasa dan sumbangan wartawan telah membantu mendirikan negara kita. Perjuangan dan peranan yang dimainkan ini adalah cukup penting dalam membina masa depan negara kita, membina rakyat kita agar lebih maju dan makmur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di Tempasuk di sini hari ini.

Majlis kemuncak HAWANA 2025 dengan tema "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika" yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 dan barisan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan