AM

KEBEBASAN MEDIA TONGGAK AMALAN DEMOKRASI YANG PERLU DIPERTAHANKAN - PM ANWAR

14/06/2025 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kebebasan media adalah antara tonggak utama amalan demokrasi yang perlu terus dipertahan dan diperkukuhkan di negara ini, demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sehubungan itu media perlu terus memainkan peranan sebagai penyampai kebenaran dan bukan hanya menjadi alat kepada sesetengah pihak berkepentingan untuk memaksa masyarakat menerima sesuatu tanpa ruang kepada perbezaan pendapat.

“Sistem ini harus kekal dan utuh dengan amalan demokrasi. Antara tonggaknya ialah kebebasan media.

“Jika kita ungkapkan pandangan Noam Chomsky (penulis buku), (kebebasan media) juga mempunyai beberapa cabaran (seperti) apa yang beliau ungkapkan sebagai 'manufacturing consent’, iaitu penggunaan alat kekuasaan untuk melakar suatu (naratif) yang menyebabkan orang terpaksa menerima," katanya ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Anwar turut menyeru agar pengamal media kekal profesional dan beretika dalam menyampaikan berita serta mendidik masyarakat untuk lebih celik maklumat agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah atau manipulasi yang dicipta pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pengamal media serta tokoh kewartawanan perlu berwaspada agar tidak terpengaruh dengan ‘manufacturing dissent’ iaitu usaha mencipta naratif untuk menanam kebencian, menghina atau memfitnah pihak lain demi kepentingan tertentu.

"Perbezaan pendapat dibolehkan, (tapi) bukan hanya merekayasa, melakar persepsi, menghina dan mencerca orang, seperti mana kita tidak mahu tyranny of the majority, yang diperingatkan oleh Thomas Jefferson (penulis buku), jangan guna kuasa untuk menindas dan menekan,” jelasnya.

Beliau berkata perlu ada keseimbangan di dalam kebebasan media bagi memastikan tiada penindasan golongan penguasa, pelampau kaum ataupun kelompok yang terdesak untuk mencari kekuasaan dengan 'manufacture dissent' dan menyebabkan ada 'tyranny of the minority’.

Sementara itu, Anwar berkata dalam landskap komunikasi masa kini, cabaran utama bukan lagi tertumpu kepada media arus perdana semata-mata, sebaliknya lebih besar datang daripada media sosial yang jauh lebih bebas, pantas dan tidak terkawal.

“Cabaran kita kini ialah bagaimana memanfaatkan kebebasan yang ada. Maklumat yang kita sampaikan harus dipercayai, berasas dan tidak menjadi alat penindasan, sama ada oleh golongan penguasa atau kelompok pelampau yang bebal dan terdesak mahu kuasa.

“Kadang-kadang budaya membaca dan menilai secara mendalam telah luntur. Ini bukan perkara baharu,” katanya.

HAWANA 2025 yang bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika" disambut meriah fraterniti media tempatan serta antarabangsa. 

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Turut sama pada majlis itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional mengambil sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermaklumat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan