AM

MEKANISME PENYALURAN INSENTIF PEMBAJAKAN, PENUAIAN PESAWAH MUKTAMAD ISNIN INI - KPKM

13/06/2025 10:11 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Mekanisme penyaluran insentif pembajakan dan penuaian kepada pesawah akan dimuktamadkan pada Isnin ini (16 Jun), menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC).

“Adalah ditegaskan, semua tindakan yang diambil berasaskan libat urus bersama pihak industri, penyedia perkhidmatan dan pesawah.

“Maklumat lanjut berkenaan insentif ini akan dikongsikan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan tersebut.

KPKM pada 11 Jun, tahun lepas mengumumkan kenaikan kadar insentif pembajakan dan memperkenalkan insentif penuaian yang menawarkan keseluruhan bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar kepada pesawah untuk setiap musim.

Bantuan tersebut dijangka memberi manfaat kepada 130,000 pesawah di seluruh Semenanjung.

Namun begitu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim semalam mendakwa pesawah masih belum menerima bayaran insentif tersebut, walaupun sudah setahun ia diumumkan.

KPKM mengambil maklum dakwaan berkenaan dan menegaskan Kerajaan MADANI sentiasa mengambil berat soal kebajikan dan kepentingan pesawah.

“Pelbagai langkah penambahbaikan telah dan sedang dirangka bagi memastikan segala insentif kepada pesawah disalurkan secara adil, tepat dan berkesan.

“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam memastikan kelangsungan sektor padi dan kesejahteraan pesawah terus dipelihara,” menurut kenyataan KPKM.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan