AM

BAUCAR PERCUTIAN MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH KARNIVAL HAWANA 2025

13/06/2025 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Lebih 200 hadiah cabutan bertuah termasuk baucar penginapan di Cameron Highlands dan Port Dickson bernilai hampir RM2,000 menanti pengunjung Karnival HAWANA 2025 di Sunway Putra Mall bermula hari ini hingga Ahad.

Ketua Jawatankuasa Kerja Karnival dan Pameran HAWANA 2025 Mohd Farhan Mustafa Kamal berkata penganjuran karnival selama tiga hari di ibu negara itu merupakan yang pertama seumpamanya sejak sambutan HAWANA diadakan pada 2018.

“Sebelum ini, setiap lokasi HAWANA ada karnival, tapi ini kali pertama kita bawa ke Kuala Lumpur. Fokus utama kita ialah memaparkan perkembangan media dan kewartawanan kepada masyarakat, tapi pada masa sama kita sediakan pelbagai tarikan istimewa seperti cabutan bertuah tahun ini,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Antara aktiviti yang diadakan di Karnival HAWANA 2025 ialah sesi bual santai bersama agensi, kuiz, persembahan artis jemputan, aktiviti mewarna, sesi temu mesra, selain forum dan bengkel berkaitan penulisan kreatif, fotografi, audio siar serta literasi media yang menyasarkan golongan remaja dan warga emas.

Bagi zon interaktif media, pengunjung berpeluang merasai pengalaman dunia penyiaran melalui reruai Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Astro dan TV AlHijrah selain lintas langsung menerusi Studio Mini HAWANA oleh Bernama TV, permainan interaktif ‘Breaking News’ oleh Bernama Radio serta pameran Kempen Internet Selamat (KIS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, sambutan HAWANA 2025 turut diisi dengan penganjuran forum Media HAWANA yang berlangsung esok bertujuan memberikan input terhadap perkembangan terkini industri media tempatan. 

Pameran agensi dan reruai interaktif turut menampilkan teknologi penyiaran digital oleh kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), jualan buku foto serta arkib media.

Karnival ini turut disertai agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain gerai jualan oleh usahawan muda serta ‘Pasar Komuniti’ melibatkan koperasi media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan alumni wartawan.

Kemuncak sambutan pada Sabtu di WTCKL dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan media negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional serta pakar industri sambil bertukar-tukar idea selain menjalinkan hubungan strategik.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan