AM

TABUNG KASIH@HAWANA PEMBELA NASIB WARTAWAN HADAPI KESUSAHAN

13/06/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA merupakan sinar harapan buat wartawan atau pengamal media yang bergelut dengan pelbagai cabaran hidup, termasuk masalah kesihatan dan bebanan keluarga.

Bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak, Joseph Bingkasan, 70, mengakui bahawa bantuan tunai yang diterimanya sangat bermakna dalam usaha menampung kos perubatan akibat sakit kanser tulang yang dihadapinya sejak 2014, termasuk membeli ubat-ubatan dan menjalani rawatan dialisis secara mingguan.

"Pesakit kanser dan kegagalan buah pinggang seperti saya sangat memerlukan bantuan untuk membeli ubat. Hospital kerajaan tidak menyediakan ubat kanser; pesakit perlu membelinya sendiri. Bantuan dana ini memberikan semangat dan harapan untuk terus hidup," katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu, Sabah.

Joseph memiliki pengalaman luas dalam dunia kewartawanan, bermula sebagai penyunting di akhbar Kinabalu Sabah Times pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah.

Beliau turut mencadangkan agar sumbangan Tabung Kasih@HAWANA diperluaskan kepada lebih ramai warga media yang memerlukan, memandangkan masih ramai yang uzur atau bersara tanpa jaringan sokongan yang kukuh.

Sementara itu, petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah Ermmah Wati Atan, 46, yang sedang berjuang melawan penyakit kanser, berkata sumbangan tersebut membantunya menampung perbelanjaan ubat dan keperluan harian.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan atas sumbangan ini dan berharap lebih banyak pihak tampil memberikan bantuan seumpama ini kepada kami yang amat memerlukannya untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Bagi pemberita sambilan Bernama Sabah Emin Madi, bantuan Tabung Kasih@HAWANA merupakan penghargaan dan pengiktirafan yang amat bermakna kepada pengamal media, terutama mereka yang tidak lagi bekerja sepenuh masa dengan mana-mana organisasi media kerana faktor usia atau sebab-sebab lain.

“Saya sangat menghargai sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, semoga pengamal media yang mendapat manfaat daripada tabung ini akan terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan perpaduan negara melalui kewartawanan,” katanya.

Di Perlis, penerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA tahun lepas, Noor Sara Mashitoh Mohamad Hanif, 40, yang merupakan ibu tunggal kepada enam anak berusia antara tiga hingga 13 tahun berkata sumbangan itu membantunya menampung perbelanjaan harian.

"Alhamdulillah, walaupun tidak banyak, sumbangan itu sangat membantu. Pada masa itu anak-anak baru memulakan sesi persekolahan, jadi saya gunakan bantuan itu untuk membeli keperluan sekolah dan barang asas lain," katanya yang kehilangan suami akibat serangan jantung pada Oktober 2021.

Wartawan Harakah itu merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif berkenaan yang menurutnya sangat bermanfaat kepada petugas barisan hadapan dalam dunia penyampaian maklumat.

Bagi bekas wartawan sambilan di Pahang, Khairulmizan Yahya, 41, tiada kata yang dapat diungkapkan selain rasa syukur tidak terhingga apabila menerima sumbangan tersebut pada Februari tahun lepas bagi membantu menguruskan masalah kesihatan anaknya.

Bapa kepada dua anak itu, yang pernah berkhidmat di Sinar Harian, Harian Metro dan Kosmo antara 2006 hingga 2022 dan kini bekerja sendiri, berkata bantuan tersebut tiba tepat pada masanya untuk menampung kos pembelian susu khas dan perjalanan ulang-alik ke hospital.

“Selain masalah pernafasan, anak bongsu saya juga mengalami alahan terhadap susu. Dia memerlukan susu khas yang ketika itu berharga RM109 bagi setiap tin 400 gram, yang hanya bertahan kurang seminggu. Jadi apabila menerima sumbangan itu, saya sangat lega,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Baging, Kuantan.

Jurukamera MalaysiaGazette, Mohd Airulrezal Amirudin, 43, pula berkongsi bagaimana bantuan itu membantunya menghadapi detik sukar selepas terlibat dalam kemalangan ketika bertugas, tahun lepas.

“Tabung Kasih@HAWANA amat membantu meringankan beban pengamal media yang berdepan pelbagai dugaan, khususnya mereka yang ditimpa kemalangan seperti saya,” katanya yang berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan demi kebajikan warga media.

Bagi jurugambar Utusan Malaysia Biro Perak, Muhamad Nazreen Syah Musthafa, 36, bantuan yang diterima sempena Aidilfitri amat bermakna kerana beliau perlu menampung kos rawatan mencecah RM5,000 sebulan bagi dua anaknya yang menghidap penyakit kulit genetik jarang ditemui, iaitu Epidermolysis Bullosa (EB).

“Ketika itu kami benar-benar tersepit untuk membeli ubat dan rawatan luka anak-anak. Alhamdulillah, bantuan itu hadir tepat pada masanya dan saya amat berterima kasih kepada Tabung Kasih@HAWANA, Kementerian Komunikasi dan Bernama,” katanya.

Dua anaknya, Aina Afieyah, 9, dan Muhamad Mikhail, 3, masing-masing disahkan menghidap EB jenis Recessive Dystrophic yang menyebabkan kulit mereka amat rapuh dan mudah terluka, termasuk di bahagian mata serta anggota badan lain. Isterinya, Norshuadah Abu Bakar, 32, merupakan suri rumah sepenuh masa.

Setakat 9 Jun, seramai 405 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA sejak dilancarkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sebagai inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan melalui Bernama, bagi menyantuni wartawan dan pengamal media, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara serta berdepan kesulitan kewangan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan