KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- New Energy Asia Sdn Bhd, usaha sama (JV) yang baru ditubuhkan antara HICOM Engineering Sdn Bhd (HESB) dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd (HFC) China akan menjadi pengedar eksklusif pengecas kenderaan elektrik (EV) Lotus di seluruh rantau ASEAN.
HESB adalah anak syarikat DRB-HICOM Bhd manakala HFC merupakan anak syarikat Lotus Technology Inc, syarikat yang terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pembangunan, pembuatan dan penjualan EV mewah.
Pengarah Urusan kumpulan DRB-HICOM merangkap Pengerusi HESB Tan Sri Syed Faisal Albar berkata New Energy Asia akan memulakan pelancaran rangkaian penuh stesen pengecasan Lotus di seluruh Malaysia bermula hari ini.
“Kami turut berminat untuk bekerjasama dengan pengeluar peralatan asal (OEM) dan pemaju hartanah berikutan kondominium moden sepatutnya mempunyai unit pengecas EV turbo.
“Banyak lagi perkara penting pada masa akan datang. JV kami dengan HFC menandakan satu pencapaian penting. Terima kasih kerana mempercayai kami. Kami teruja untuk membina bersama sesuatu yang benar-benar memberi impak pada masa hadapan.
"Kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Suruhanjaya Tenaga, bimbingan dan sokongan anda telah membolehkan perkara ini menjadi kenyataan. Kami amat berterima kasih," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran JV berkenaan di sini hari ini.
Syed Faisal berkata DRB-HICOM komited untuk menyahut seruan kerajaan terutamanya dalam sektor EV, yang menyumbang kepada pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Kemudahan pembuatan HICOM Engineering turut memasang model EV Mercedes-Benz EQS, dan Pos Malaysia telah menukar sebanyak 2,000 kenderaan kepada motosikal dan van elektrik.
“Kami bukan sekadar bercakap mengenai perubahan, kami melaksanakannya. Oleh itu, JV baharu ini menjadi penghubung semula jadi dalam usaha kami untuk mengurangkan jejak karbon,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi HESB Hazrin Fazail Haroon berkata New Energy Asia menyasarkan untuk menubuhkan kemudahan pembuatan dalam tempoh dua tahun akan datang, bergantung kepada permintaan pasaran.
Lokasi yang disasarkan adalah di Tanjung Malim, Perak.
Bagaimanapun, buat masa ini, New Energy Asia akan memfokuskan kepada perkhidmatan selepas jualan dan sokongan kepada operator titik pengecasan serta mengukuhkan keupayaan dan kepakaran tenaga kerjanya dalam bidang ini.
“Kami telah menghantar pasukan kami ke Hangzhou Flash Charge di China bagi latihan peringkat pertama. Mereka telah berada di sana dan menimba semua ilmu mengenai peralatan pengecasan, arus terus dan arus ulang alik.
“Bagi fasa kedua, kami sedang menjalankan latihan dalam talian yang tertumpu kepada penentukuran peralatan pengecas dan kesesuaian dengan model kenderaan baharu yang tersedia di pasaran.
“Kami akan bekerjasama dengan OEM dan rakan kongsi kami untuk melaksanakan penentukuran ini dan menyelesaikan sebarang isu yang kita dihadapi di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA