KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Persiapan bagi Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) berjalan lancar dengan beberapa sentuhan akhir akan dibuat bagi memastikan kelancaran acara esok.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata persiapan rapi dilaksanakan petugas sejak pagi dan turut dipantau wakil daripada Pejabat Perdana Menteri.
Beliau berkata majlis kemuncak yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang esok turut disertai kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada wartawan dan pengamal media tempatan serta luar negara selain pelbagai wakil agensi.
“Setakat ini, saya lihat raptai nampak gayanya dekat 90 peratus sudah hampir sempurna. Cuma ada beberapa pemerhatian kecil dan kita dah suarakan dengan pihak urus setia untuk tujuan tambah baik,” katanya ketika ditemui pada raptai penuh di WTCKL di sini hari ini.
Turut meninjau raptai penuh majlis kemuncak itu ialah Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025.
Mano juga berharap kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama serta agensi media lain bagi penganjuran HAWANA diteruskan pada masa akan datang.
Pada majlis kemuncak petang esok, Perdana Menteri akan menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah HAWANA 2025 serta bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga pengamal media.
Beliau juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang berlangsung meriah pada 31 Mei lepas.
Pada sebelah pagi, akan berlangsung Forum HAWANA 2025 di Dewan Tun Hussein Onn WTCKL bertajuk Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector? disusuli sesi perkongsian teknologi bertajuk AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?
Sementara itu, Karnival HAWANA 2025 memasuki hari kedua di ruang legar Sunway Putra Mall dengan sasaran kehadiran 5,000 pengunjung dan menampilkan 20 reruai pameran melibatkan agensi media utama, jabatan kerajaan dan sektor swasta termasuk Bernama, RTM, Astro, Media Prima Berhad, Jabatan Penerangan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pengamal media.
-- BERNAMA