KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Geneva menyertai Festival Asian- Asian Ambassadors’ Wives Association Geneva (AAWAG) pada 11 Jun lalu, bertempat di World Intellectual Property Organisation (WIPO), Geneva, Switzerland.
Bertemakan “Permata Asia”, sebanyak 23 buah negara Asia termasuk Malaysia mempamerkan kraftangan seperti barangan permata dan aksesori, pakaian tradisional, persembahan kebudayaan dan masakan tradisi negara masing-masing.
Semasa festival itu, Malaysia turut mempromosi sajian tradisi termasuk nasi lemak, sate ayam, karipap dan teh tarik.
Selain itu, tarian tradisional Melayu seperti Joget, Zapin dan Inang turut dipersembahkan, manakala pakaian tradisional Puteri Perak dan Orang Ulu diperagakan.
Penyertaan kali ini mencerminkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta beberapa negara ASEAN lain seperti Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam dalam mempromosikan kepelbagaian budaya dan kekayaan warisan serantau di pentas antarabangsa, sejajar dengan tema “ASEAN 2025: Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sejak 2021, festival tahunan itu dianjurkan oleh AAWAG dengan kerjasama WIPO, manakala Malaysia merupakan antara negara yang konsisten menyertainya hingga ke hari ini.
Acara itu menjadi platform penting bagi Malaysia mempromosikan keunikan seni, budaya dan warisan negara kepada masyarakat antarabangsa di Geneva.
Antara yang diketengahkan termasuk warisan kebudayaan tidak ketara Malaysia yang menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
-- BERNAMA