GUA MUSANG, 13 Jun (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang menjalankan siasatan dan pemantauan berhubung kemunculan seekor gajah liar, yang dilaporkan berkeliaran di kawasan penempatan penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1 di sini semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata tindakan segera diambil sebaik menerima aduan dan pihaknya mendapati lokasi kemunculan haiwan berkenaan terletak berhampiran Hutan Simpan Kekal Relai.
“Pada 12 Jun 2025, Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai menerima aduan mengenai gangguan gajah liar yang berkeliaran di sekitar kawasan rumah dan kampung berhampiran ladang peneroka, hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk serta menyebabkan kerosakan tanaman seperti pokok kelapa sawit dan kelapa.
“Hasil siasatan mendapati aduan itu berasas dan dipercayai seekor gajah bersaiz besar dengan ukuran tapak kira-kira 15 inci menceroboh kawasan penempatan peneroka berhampiran ladang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya memberikan khidmat nasihat kepada penduduk dan menasihati mereka supaya tidak memprovokasi haiwan liar itu sekiranya terserempak, selain segera melaporkan kepada Pejabat Perhilitan Kuala Krai untuk tindakan lanjut jika kejadian berulang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Relai Utara Mohd Sopian Che Seman berkata gajah liar itu dikesan mula memasuki kawasan kampung yang didiami lebih 400 penduduk sejak sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
“Pada awalnya, beberapa kumpulan gajah hanya berkeliaran di sekitar kawasan ladang, namun kira-kira pukul 6 petang semalam, seekor gajah telah masuk ke kawasan rumah dan merosakkan tanaman yang diusahakan berhampiran kediaman penduduk.
“Kami bimbang keselamatan ahli keluarga apabila gajah ini semakin berani menghampiri kawasan rumah,” katanya.
Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, para peneroka mengalami kerugian apabila hasil tanaman kelapa sawit sering dirosakkan oleh gajah, yang dipercayai mencari sumber makanan di kawasan ladang.
-- BERNAMA