KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dalam menjayakan penganjuran program bual bicara sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini wajar diteruskan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata kerjasama erat antara Bernama dan RTM menerusi gabungan gaya penyampaian kedua-dua pihak dalam program SPM x AKM (Selamat Pagi Malaysia dan Apa Khabar Malaysia) memberi nafas baharu kepada pendekatan penyampaian kandungan media arus perdana.
"Lebih menarik apabila cara RTM dan cara Bernama digabungkan menjadi SPM x AKM. Itu yang kita rasa perlu diteruskan tahun ini, apatah lagi HAWANA diadakan di ibu negara. Saya rasa memang wajar sekali program seperti ini diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program SPM x AKM bertajuk 'Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika' sempena HAWANA 2025 yang disiarkan secara langsung oleh BernamaTV dan RTM dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman mewakili RTM sebagai tetamu pada program tersebut.
Nur-ul Afida berkata kerjasama tersebut membuka peluang kepada kedua-dua organisasi untuk berganding bahu bukan sahaja dari segi teknikal, malah dalam penyediaan kandungan dan elemen penyiaran lain, sekali gus mencerminkan kekuatan dua jenama utama di bawah satu kementerian.
"RTM dan Bernama kedua-duanya adalah di bawah Kementerian Komunikasi. Jadi kita sebagai 'abang dan adik', saya percaya kita boleh menunjukkan bagaimana keberhasilan itu boleh menjadi lebih mantap dan menarik apabila dua jenama besar berganding bahu," katanya.
Senada dengan beliau, Suhaimi berkata jalinan kerjasama antara RTM dan Bernama merupakan satu pertalian strategik yang memperkukuhkan ekosistem penyampaian maklumat negara.
"Gabungan ini sangat mantap dan merupakan satu kerjasama yang baik kerana kita bukan sahaja berganding bahu di lapangan tetapi juga merentasi platform radio, televisyen dan dunia digital. Apabila ramai pemikir bergabung, maka hasilnya ialah sesuatu yang baik, kandungan yang berkualiti, relevan dan mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat," katanya.
Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", sambutan HAWANA 2025 selama tiga hari hingga Ahad yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana telah membuka tirai secara rasmi hari ini.
Terdahulu dalam program bual bicara tersebut, Nur-ul Afida berkata tema berkenaan dipilih selepas mengambil kira pandangan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bahawa dalam era digital kini, perlu ada satu tema yang berkait rapat dengan keadaan semasa, dan kecerdasan buatan (AI) merupakan salah satu elemen penting yang harus diberi perhatian.
"Tema ini diangkat bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada para wartawan mengenai peranan AI dalam memudahkan urusan kerja, tetapi juga untuk menekankan pentingnya etika sebagai pegangan utama dalam melaksanakan tugas," katanya.
Suhaimi pula berkata wartawan perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi termasuk AI selaras dengan prinsip etika kewartawanan serta kesedaran terhadap kesannya kepada khalayak.
"Bila kita bercakap tentang etika, saya lebih suka kita gunakan perkataan tanggungjawab. Kita perlu rasa bertanggungjawab apabila menggunakan teknologi. Sama seperti telefon bimbit, ia boleh digunakan untuk tujuan baik atau sebaliknya. Jadi sebagai wartawan, kita guna AI untuk tujuan yang betul, secara bertanggungjawab," katanya.
Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.
-- BERNAMA