AM

UTK TERUS PERKASA, DAPAT PERMINTAAN TINGGI DALAM NEGARA

12/06/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjadi antara pasukan elit yang mendapat permintaan tinggi dalam negara, khususnya dalam bidang pengiring dan perlindungan kenamaan serta operasi antikeganasan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman DCP M.V. Sri Kumar berkata UTK bukan sahaja mengekalkan keupayaan tempurnya, tetapi juga terus berkembang selaras cabaran semasa.

“Operatif UTK adalah aset bernilai tinggi kerana mereka terlibat dalam operasi sulit dan berisiko tinggi.

“Perjawatan UTK tidak pernah penuh kerana permintaan terhadap mereka sangat tinggi, sama ada daripada agensi korporat, mahupun individu kenamaan dalam dan luar negara yang amat berminat dengan kepakaran serta latihan dimiliki operatif UTK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Upacara Penganugerahan Beret UTK dan Penutupan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 di Bukit Aman hari ini.

Sri Kumar berkata meskipun kekuatan semasa UTK mencecah 365 anggota, unit itu masih mempunyai kekosongan kira-kira 40 anggota, manakala pengambilan anggota baharu dilakukan sekali atau dua kali setahun dengan kadar purata hanya 15 ke 18 peratus calon berjaya bagi setiap pengambilan.

Beliau berkata bagi pengambilan terbaharu hanya 36 daripada 250 calon yang hadir pada sesi pemilihan awal dan temu duga berjaya menamatkan kursus peringkat akhir, Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 yang diadakan pada 13 hingga 31 Mei lepas.

“Ini membuktikan hanya yang terbaik antara terbaik terpilih, namun menamatkan latihan asas tidak bermakna prosesnya selesai. Mereka masih perlu menjalani pelbagai modul lanjutan seperti latihan bahan letupan, penembak tepat, terjun udara, latihan berkuda dan kursus lain mengikut keperluan semasa,” katanya.

Antara latihan intensif dijalankan, katanya ialah seni mempertahankan diri, perubatan tempur, kemahiran medan, latihan menembak, kaedah masuk, pertempuran jarak dekat (CQB), pertempuran dalam kawasan terbina (FIBUA) dan operasi akhir yang direka bagi menguji ketahanan fizikal serta mental peserta secara menyeluruh.

Sri Kumar yang pernah menjadi anggota UTK dari 1992 hingga 2019 turut menyatakan rasa bangga melihat kemajuan unit itu sepanjang tahun.

"Saya dimaklumkan bahawa mereka dijangka berpindah ke Markas Baharu UTK di Semenyih, Selangor menjelang tahun hadapan dengan kerja pembinaan telah siap sebanyak 70 peratus. 

“Apabila siap kelak, unit ini dapat menjalankan semua latihan dan aktiviti mereka di premis sendiri," katanya sambil menambah ketika ini latihan dijalankan di fasiliti polis di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan