KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Lebih 60,000 individu mendapat manfaat daripada Program Korban Al-Falah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), dengan 145 ekor lembu dikorbankan di 126 lokasi seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pada program berlangsung dari Sabtu hingga semalam itu, sebanyak 12,000 kilogram daging korban telah diagih kepada golongan asnaf, guru agama serta kumpulan B40.
“Inisiatif ini bukan sahaja menzahirkan nilai ihsan serta kasih sayang sesama insan, malah memperkukuh gagasan Malaysia MADANI dan agenda memperkasa kebajikan ummah melalui pendekatan terangkum dan kerjasama strategik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada YAPEIM serta ribuan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program itu dengan penuh komitmen dan amanah.
“Sumbangan dan sokongan masyarakat adalah nadi utama kejayaan program ini. Setiap ringgit dan pengorbanan yang disumbangkan adalah cahaya harapan buat mereka yang memerlukan,” katanya.
Mohd Na’im turut menyeru supaya lebih banyak pihak menyokong inisiatif seumpama itu sebagai usaha berterusan memperkasakan kebajikan rakyat.
-- BERNAMA