AM

KPT KENAL PASTI KEKUATAN UNIVERSITI, PACU AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

11/06/2025 08:03 PM

SERDANG, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengenal pasti kekuatan setiap universiti untuk digerakkan secara strategik dalam agenda pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata penglibatan ahli akademik dan institusi pengajian tinggi penting bagi memastikan agenda berkenaan dapat dicapai secara mampan dan berdaya tahan.

"Sebab itu kita (KPT) amat menggalakkan rangkaian antara universiti supaya kita dapat gabungkan semua kepakaran yang ada untuk kita memikirkan bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah keterjaminan makanan dengan kos yang berpatutan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutup Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025 (PKMK2025) di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

PKMK2025 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dianjurkan UPM dengan kerjasama KPT serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi membincangkan hala tuju dasar pertanian serta keterjaminan makanan negara.

Persidangan itu menghimpunkan penggubal dasar, akademik, badan bukan kerajaan, usahawan, pelajar dan pemain industri dalam forum terbuka melibatkan ucapan dasar, sesi pleno, pembentangan penyelidikan serta forum panel.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapha berkata pendekatan kolaboratif antara pelbagai pihak termasuk pihak industri, kerajaan dan petani penting bagi negara dalam mendepani cabaran keterjaminan makanan.

Sementara itu, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata rangkaian universiti (Nexus) keterjaminan makanan yang diterajui UPM kini melibatkan 20 universiti awam dan tujuh universiti swasta.

"Kami sudah mengadakan bengkel beberapa kali dan telah menetapkan beberapa tindakan yang kita mahu lakukan dengan harapan penyelidikan yang berimpak tinggi akan dapat digunakan kerajaan dan juga industri," katanya.

Beliau berkata UPM bercadang untuk memperluas kerjasama dalam Nexus berkenaan kepada institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta politeknik.

"Penggunaan teknologi  penting untuk mengubah komuniti tani. Teknologi peringkat tinggi selalunya di universiti, tetapi di peringkat pelaksanaan kita memerlukan institusi TVET dan politeknik," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan