KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Johor dijangka mengendalikan 60 peratus daripada jumlah kapasiti pusat data Malaysia menjelang 2030, mengukuhkan peranannya sebagai hab digital bagi Asia Tenggara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata transformasi itu akan disokong dan dipercepatkan oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“JS-SEZ telah mempercepatkan langkah kita, meningkatkan inisiatif tarikan bakat kita dan mengukuhkan hubungan rantaian bekalan kita di rantau ASEAN dan di luar darinya.
“Johor bukan lagi sekadar bergerak seiring; ia mengemudi kemajuan bagi sasaran digital di rantau ini,” katanya menerusi ucap tama beliau pada majlis menandatangani Pembiayaan Bersindiket DayOne dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat hari ini.
Pusat Data DayOne telah memuktamadkan pembiayaan pelbagai mata wang berjumlah RM15 bilion, yang terdiri daripada kemudahan Pembiayaan Berjangka Murabahah sebanyak RM7.5 bilion dan kemudahan Pinjaman Berjangka Luar Pesisir sebanyak US$1.7 bilion.
Tengku Zafrul menyaksikan majlis menandatangani pembiayaan bersindiket itu.
CIMB, Crédit Agricole, DBS, Maybank, OCBC, Standard Chartered dan UOB dilantik sebagai Penyelaras Bersama bagi salah satu transaksi pembiayaan pusat data terbesar Asia yang menyokong pembangunan pusat data utama DayOne di JS-SEZ.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata Johor menarik pelaburan berjumlah lebih RM30 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, dengan hampir 90 peratus daripadanya dalam infrastruktur digital.
"Ini adalah bukti nyata pelabur jelas tentang dasar kita. Selain itu, kita menarik modal yang betul dan visi kita untuk menjadikan Johor sebagai pintu masuk Malaysia semakin menjadi kenyataan," katanya.
Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, Malaysia juga sedang giat memacu penerimaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
“Ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang lebih 25 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun ini.
“Menjelang 2030, pelaburan digital dijangka memangkinkan hampir RM400 bilion dalam KDNK terkumpul, yang menjana sumber untuk menyokong daripada penyelidikan AI hinggalah kepada e-kesihatan, serta menambah baik e-perkhidmatan, perbankan digital dan e-dagang,” katanya.
Tengku Zafrul berkata DayOne juga memperoleh sehingga 500 megawatt (MW) tenaga boleh baharu (TBB) daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
Beliau berkata CRESS membolehkan pusat data berskala besar dan pengguna utama tenaga membeli TBB terus daripada penjana, iaitu TNB.
Menurutnya, penyelesaian dipacu pasaran TNB akan membantu Malaysia mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam campuran penjanaan tenaga menjelang 2050.
“CRESS, garis panduan nasional kita, sasaran dipacu NIMP, dan piawaian pelaporan yang telus akan menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai hab pelaburan digital, tetapi juga penanda aras bagi pertumbuhan bertanggungjawab di ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan